Pages

Showing posts with label Tazkirah Diri dan Sahabat. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah Diri dan Sahabat. Show all posts

Sahabatku...

Assalamu'Alaikum W.B.T...

Tawadhu' diri adalah salah satu syarat bagi keterbukaan hijab dan penuntun tangan si habib menerusi gerbangan pintu Cinta Allah yg senangtiasa terbuka bagi setiap makhluq-Nya...

Sahabatku...

Sanggup kau gadaikan seluruh maruahmu di hadapan Tuhan-Mu...

Sesungguhnya kau telah rebahkan dirimu di hadapan sesuatu yang lain Dari-Nya...

Apa kau kira ada Dzat selain-Nya wahai sahabatku...?


Sahabatku...

Sedarlah akan ketiadaan dirimu...

Berbicaralah dengan Tuhanmu dengan keadaanmu yang Fana' di dalam Kekeuasaan-Nya...

Jika kau tersentuh api dosa,
Maka bersegeralah menyapu ia dgn ubat Khauf dan Raja'mu kepada-Nya...

Apabila berbicara dengan makhluq yang lain,janganlah diangkat lalu dipikul suatu yang wujud di atas ketidakwujudan dirimu...
Kerana itulah kesilapan yang jelas menjerumuskan dirimu di dalam lembah kemurkaan-Nya...

Jangan kau fikir dengan ilmu dan 'Amalmu maka kau dapat mengenal Diri-Nya...
Kerana ia hanyalah suatu syarat dari-Nya sbg wasail untuk sampai kepada-Nya...

Apakah kau tiada terfikir bahawa Dia berhak untuk menentukan hamba-Nya sampai kepada-Nya tanpa wasail yang kebiasaannya...


Sungguh...
Dialah yang Maha Berkuasa lagi tiada dipengaruhi akan segala percaturan-Nya lagi Yang mampu melenyapkan segala wasail antara hamba-Nya dengan Diri-Nya...

Ketahuilah wahai sahabatku...
Apabila berhubung si hamba dengan Rabbnya,
maka tiadalah yang wujud melainkan Tuhan-Nya...

Apakah ia Yaqazah dan hukumnya...

Assalamu'alaikum W.B.T...

Hukum Bertemu Nabi Secara Yaqazah (Jaga)




Soalan:
Adakah harus dan boleh menerima zikir dan doa daripada Rasulullah SAW pada masa sekarang, waktu yang menerimanya itu jaga atau waktu tidur dalam mimpi?


Jawapan:
Hukumnya harus dan boleh.


Huraian Jawapan:
Berkata Syeikh Abdul Qadir bin Syeikh Abdullah bin Syeikh Al Idrus Baalawi yang hidup tahun 978 Hijrah dan mati tahun 1038 Hijrah dalam kitabnya An Nurus Safir ‘An Akhbaril Quranil ‘Asyir:

Adalah Imam Al Hafiz As Sayuti itu ada banyak karamah terbit daripadanya itu, kebanyakannya itu berlaku sesudah ia mati (dan matinya pada tahun 911 Hijrah).

Berkata Al ‘Alamah Syeikh Zakaria bin Syeikh Muhammad Al Mahalli As Syafie bahawa Imam As Sayuti itu telah ditimpa oleh sesuatu perkara yang besar pada suatu masa, maka saya minta daripadanya, menulis surat wasiat atau pesanan kepada sesetengah anak muridnya, melalui saya, maka Imam As sayuti enggan berbuat begitu dan Imam itu telah melihatkan kepada saya akan sehelai kertas yang ditulis dengan tangan Imam itu, bahawa: “Saya telah berhimpun dengan Nabi SAW waktu jaga banyak kali lebih dari 70 kali dan sabda Nabi SAW kepada saya, yang maksudnya:

“Bahawa siapa yang ada keadaannya begini, maka tiadalah ia berhajat pada pertolongan dan bantuan daripada sesiapa.”

Telah dihikayatkan daripada Imam As Sayuti telah berkata:

“Saya telah melihat dalam tidur saya, seolah-olah saya ada di hadapan majlis Nabi SAW, maka saya sebutkan sebuah kitab yang saya telah mula mengarangnya dalam perkara hadis dan sunat iaitu Jam’ul Jawaami’ , maka saya berkata kepada Nabi SAW: Hamba akan bacakan sedikit daripada isi kitab itu, maka sabda nabi SAW: Bawalah kepada saya, hai guru hadis (Ya Syeikhul Hadis).” Berkata Imam As Sayuti: “ Mimpi itu suatu khabar gembira kepada saya lebih besar dari dunia dan seluruhnya.”

Dari kitab Khususiyyatu Yaumil Jum’ah karangan Imam As Sayuti dicetak di Damsyik tahun 1386-1966 Hijrah.

Al Habib Syeikh Abdul Qadir Al Idrus itu juga ada mengarang kitab bernama Ta’riful Ahyai Bifadhailil Ahya’I Kitab “Ahya” karangan Imam Al Ghazali yang mati tahun 505 Hijrah yang terkenal itu dan kisah Imam As Sayuti itu ada disebutkan oleh Syeikh Najmuddin Al Ghazzi dalam kitabnya Al Kawakibus Saairah.

Adalah Al Habib Umar bin Abdul Rahman Al ‘Athas yang empunya ratib bernama “ Ratibul ‘Athas” yang terkenal di Malaysia dan rantau sebelah ini, yang mati pada atahun 1072 Hijrah dan ditanam di Huraidah Hadramaut (Selatan Tanah Arab) , ada berlaku di tangannya beberapa perkara yang ganjil dan pelik atau karamah setengah dari perkara-perkara itu:

1. Apabila Al Habib Umar itu pergi ziarah kubur bapanya Sayyid Abdul Rahman , ia berkata pada kubur bapanya dan ia mengkhabarkan segala perkara dengan penglihatan dan nampak dengan matanya.

2. Kerabatnya berkata sedang kami duduk di rumah kami dan di sisi kami Al Habib Umar Al ‘Athas, maka tiba-tiba ia memerah akan lengan bajunya dengan air bertitik, maka kami bertanya, “Ya Sayyidi, apa air ini?” Ia menjawab, “ Bahawa suatu kumpulan orang kekasih kami, telah rosak perahu mereka di dalam laut Syam (Tanah Hajaz), dan mereka minta tolong daripada kami maka kami datang membantu mereka, mereka dilepaskan oleh Tuhan mereka dari bencana alam, dan basah ini dari air laut itu.”

3. Apabila Habib itu beribadah kepada Tuhannya dengan seorang diri jauh daripada manusia maka Nabi SAW datang kepadanya hal keadaannya nyata dan Nabi SAW menyuruh akan dia mengajak manusia kepada jalan Allah Taala, dan menunjuk dan mengajar mereka. Mengapa saya tiada melihat akan keadaan Rasulullah SAW itu dengan nyata, kerana jikalau terdinding daripada saya oleh Nabi SAW sekejap sahaja, nescaya tiada saya bilangkan diri saya daripada kalangan orang Mukmin, dan mengapa terdinding Nabi SAW daripada saya padahal baginda SAW itu ain wujud saya.

4. Seorang lelaki meminang akan seorang perempuan berkahwin dengannya, maka bapa perempuan dan saudaranya enggan menerimanya, maka ia marah dengan hal yang beraku itu dan ia kembali ke rumahnya dan ia berazam akan membunuh mereka, apabila malam gelap ia menyandang senjatanya dan keluar menuju kepada bapa dan saudara perempuan itu, di antara ia berjalan-jalan tiba-tiba ia merasa seorang yang memegang tangannya seperti harimau yang ganas dan ia berpaling, tiba-tiba ia melihat Habib Umar Al ‘Athas, maka ia tercengang gementar dan Al habib itu berkata, “ Ke mana engkau hendak pergi?” Ia berkata, “Saya ada mempunyai suatu hajat.” Katanya, “ Engkau tiada mempunyai suatu hajat, tetapi engkau keluar ini kerana berbuat begini, begini. Hendaklah engakau kembali ke rumah engkau.” Dan Al Habib itu melepaskan tangannya dan laki-laki itu pun kembali ke rumahnya. Tiada beberapa hari datang bapa perempuan dan saudaranya mengambil hatinya dan menerangkan sebab-sebab penolakan pinangan itu dan meminta maaf. Dan keduanya berkata, “Perempuan itu bagi engkau. Demi Allah kami tiada mengahwinkannya selain daripada engkau.” Kemudian laki-laki itu berkahwin dengan perempuan itu, dan mendapat anak-anak sepertimana khabar gembira yang terbit daripada Al Habib Umar Al ‘Athas itu.

Ini kita petik dari Fathu Rabbin Nas huraian Ratib Habib Umar bin Abdul Rahman Al ‘Athas, telah dihimpunkan oleh Maulana Al ‘Arif Sayyid Hussin bin Almarhum Al ‘Alamah Sayyid Abdullah bin Muhammad bin Muhsin bin Hussin Al ‘Athas dalam bahasa Melayu pada tahun 1342 Hijrah.

Dihikayatkan oleh Abu Abdullah Al Qastalani bahawa ia melihat Nabi SAW dalam tidur dan ia mengadukan kepada Nabi akan sengsara hidup dan fakirnya dan papanya. Maka Nabi SAW mengajarkan dia akan suatu doa.

Dari kitab Al Wasaailu Syafi’ah oleh Imam Muhaddis Sayyid Muhammad Bin Ali Khidr yang mati tahun 960 Hijrah, dan Sayyid itu mengulas doa yang di atas ini.

Ketahui olehmu barangsiapa yang menyebut akan “ Asmaul Husna” yang di atas ini, dan dia berperangai dengan perangai kalangan orang-orang yang terpilih daripada hamba Allah, dan beradab dengan adab wali-wali Allah, maka Allah Taala akan hidupkan roh “Asmaul Husna” akan hati orang itu. Dan Allah akan terangkan akan hatinya dengan cahaya hakikat “Asmaul Husna” itu. Dan ia tiada memohon sesuatu daripada Allah melainkan Allah berikan apa yang ia mohon.

Adalah Habib Al Arifbillah Ahmad bin Hussin bin Abdullah Al ‘Athas, datuk kepada Al Habib Sayyid Muhammad bin Salim bin Ahmad Hussin Al ‘Athas dan Al Habib Sayyid Muhammad bin Salim rh. Itu pengelola masjid Ba’alawi di Bukit Timah di Singapura. Dan Al ‘Alamah datuk Habib Sayyid ‘Alawi bin Thahir Haddad Al Haddar, muftikerajaan Johor yang trdahulu itu adalah anak murid kepada Habib Al Arif Ahmad bin Hussin Al ‘Athas.

Berkata habbib Sayyid ‘Alawi bin Thahir Al Haddad dalam kitabnya ‘Uqudul Almaasi Bimanaaqibi Syaikhil Thoriqah Wa Imaamil Haqiiqah, Al Arifbillah Habib Ammad bin Hussin Al ‘Athas: Kata Syeikh Muhamad bin ‘Audh bin Muhammad Bafadhlu dalam kitab Manaaqibil ‘Arifbillah Al Habib Ahmad bin Hussin Al ‘Athas bagaimana disebutkan oleh Imam Habib Al ‘Idrus bin Umar Al habsyi bahawa Al Habib Al Arif Ahmad Al ‘Athas itu seorang wali Allah yang mutlak dan dia dibenarkan mengkhabarkan apa perkara yang disembunyikan oleh orang lain.

Adalah Al Habib Arifbillah Ahmad bin Hussin Al ‘ Athas itu apabila banyak melihat Rasulullah SAW sehingga berulang-ulang kali semalam hingga tujuh kali.

Adalah Al Habib Al Arifbillah itu apabila ia berasa syak pada suatu hadis maka ia bertanya kepada Nabi SAW.

Adalah Al Habib Al Arifbillah itu dapat mengetahui perkara bohong, katanya saya melihat keluar daripada mulut pembohong itu seperti sesuatu asap.

Al Arifbillah itu dapat mengenal karangan-karangan kitab-kitab ilmu, mana kitab itu ditulis mengikut hawa nafsu atau kerana ta’asub atau lain-lain dari hawa nafsu dan ta’asub.

Al Arifbillah itu dapat memilih mana-mana kitab yang sayugia dibaca dan diamalkan oleh ahli ilmu.

Adalah guru Al Arifbillah Habib Ahmad bin Hussin Al ‘Athas itu bernama Ghausu Zamaanih Al Habib Abu Bakar bin Abdullah Al ‘Athas telah memohon pandangan dan pilihan dalam sesuatu perkara kepada Nabi SAW maka Nabi SAW bersabda kepadanya: “ Akan datang kebenaran atau datang isyarat di atas tangan seorang anak-anak kamu.”:

Al Arifbillah Ahmad bin Hussin Al ‘Athas berkata adalah roh-roh datang kepada saya pada permulaan hidup saya sebagai suatu utusan sepuak lepas sepuak dan dia bercerita bahawa setengah orang mati lalu kepadanya lepas roh-roh berpisah dari jasad orang-orang mati itu atau lalu malaikat kepadanya dengan mmbawa roh-roh itu. Saya Tanya (Habib Mufti), ke mana roh-roh yang tuan guru lihat tadi? Jawabnya , dia bersiyarat dengan tangannya bahawa roh-roh itu pergi ke pihak kiblat.

Al Arifbillah itu menceritakan kepada (Al Habib Mufti) bahawa Al Arifbillah berhimpun dengan roh-roh “barzzakhiyyah” yang belum masuk ke dalam jasad manusia di dalam suatu perkara berlaku.

Adalah Al Arifbillah itu bangun tidur pada 1/3 yang terakhir dari waktu malam, ia mengambil air sembahyang, dan ia sembahyang dan panjang sembahyangnya itu. Kemudian ia membaca zikir-zikir yang panjang dan mengulang-ulang “Asmaul Husna”, ia bertasbih, ia bertahmid, ia bertakbir pada tiap-tiap “isim” itu. Kemudian ia baca zikir-zikir yang lain kemudian ia baca Quran dengan bacaan sederhana tiada cepat dan tiada lambat dan dia dapat membaca lima juzuk Al Quran sebelum terbit fajar.

Disebutkan bahawa Al Arifbillah dan Al Afiful Munawwar Ahmad bin Abdullah Balkhair sembahyang witir berjemaah dengan membaca 10 juzuk Al Quran.

Adalah wirid Al Arifbillah dalam sehari 25,000 “Lailahaillallah” dan membaca separuh Quran. Adapun usaha Al Arifbillah pada membaca kitab-kitab ilmu dari kitab-kita tafsir, hadis, tasawuf dan lain-lain, maka tiadalah kita ketahui (kata Al habib ‘Alawi) seseorang pun seperti Al Arifbillah itu.

Berkata Al ‘Alamah Muhammad Bifadhlu, saya berhubung dengan Al Arifbillah pada tahun 1316 Hijrah, maka banyak bilangan kitab yang ia baca di hadapan Al Arifbillah dan lain-lain penuntut membaca kitab di hadapannya menunjukkan kitab-kitab yang dibaca dihadapannya itu dari semenjak Al arifbillah balik dari Mekah sehingga tahun itu tiada kurang dari 26 tahun, adalah sangat banyak tiada dapat dikira, kerana tuan guru Al Arifbillah itu tiada sabar dari ilmu dan dari ibadah dan dari zikir, semuanya itu makanan bagi dirinya dan rohnya, dan saya tiada lihat akan seseorang pun tahan mendengar kitab-kitab ilmu seperti tuan guru itu.

Adalah Al Arifbillah itu apabila ia melayan “dhif-dhif” dan tetamu atau utusan-utusan maka ia tiada tahan dari meninggalkan membaca kitab, maka ia letakkan sebuah kitab di atas ribanya dan ia balik-balikan halaman kitab itu, sambil ia melayani “dhif-dhif” itu kerana ia gemarkan ilmu dan kitab-kitab ilmu.

Dipetik dari Uqudul Almaasi.

Diriwayatkan oleh Imam Abu Na’im dan Ibnu Basykuwal daripada Imam Sufyan As Tsauri telah berkata, di antara ketika saya mengerjakan haji, tiba-tiba masuk seorang pemuda, dia tiada mengangkat sebelah kaki dan tiada meletakkan sebelah kaki, melainkan ia berselawat atas Nabi SAW dan keluarga baginda.

Maka saya katakan kepadanya: “Adakah dengan ilmu kamu kata begitu?” Pemuda itu menjawab: “Ya”. Kemudian pemuda itu berkata: “Siapa tuan?” Saya menjawab: “ Saya Sufyan As Tsauri.” Ia bertanya: “Dari Iraq ?” Saya jawab: “Ya.” Pemuda itu bertanya: “ bagaimanakah tuan kenalkan akan Allah?” Saya jawab: “Allah memasukkan malam ke dalam siang dan Allah memasukan siang ke dalam malam dan Allah menggambarkan anak-anak dalam rahim.” Kata pemuda itu: “ Wahau Sufyan, tuan belum kenalkan Allah dengan sebenar-benar kenal.”

Saya berkata: “ Bagaimana kamu kenalkan Allah?” Jawab pemuda itu: “ Bifaskhil hammi, wa naqdhil ‘azmi. (ertinya: dengan membuang bimbang dan membatalkan azam.). Dan saya bimbang maka saya buang bimbang itu, dan saya berazam maka dibatalkan azam saya itu, dengan itu saya kenal bahawa bagi saya ada Tuhan yang Esa yang mentadbirkan hal ehwal saya.”

Saya berkata: “Apa itu selawat yang kamu selawat kepada Nabi SAW?” jawab pemuda itu: “Ceritanya begini: Adalah saya pergi kerja dan bersama-sama saya ibu saya, dan ibu saya minta saya bawa dia masuk ke dalam Kaabah. Maka saya bawa ibu saya ke dalam Kaabah, maka ibu saya terjatuh dan bengkak perutnya dan hitam legam mukanya. Maka saya duduk disisinya dengan sedih hati saya, dan saya angkat 2 tangan ke langit dan saya berkata: Ya Rabbi Ya Tuhanku, beginikah Tuhan hamba buat kepada sesiapa yang masuk ke dalam rumah Tuhan hamba (Kaabah), maka tiba-tiba awan naik dari sebelah Tihamah, dan tiba-tiba ada di dalamnya seorang lelaki memakai pakaian putih, dan ia masuk ke dalam Kaabah. Dan ia lalukan tangannya di atas perut ibu saya, maka muka ibu saya menjadi putih dan kesakitannya reda. Kemudian ia berjalan hendak keluar dari Kaabah itu maka saya tarik bajunya dan saya berkata kepadanya: “Siapa tuan yang menolong menyelamatkan saya dari kesedihan saya?” Jawabnya, “ Saya Nabi kamu, Nabi Muhammad yang kamu memberi selawat ke atasnya.”

Maka kata saya: Ya Rasulullah “Fa Ausini” (ertinya mohon beri pesan pada saya). Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Janganlah angkat sebelah kaki dan jangan letakkan sebelah kaki melainkan kamu berselawat di atas Sayidina Muhammad dan di atas keluarga Sayidina Muhammad.”

Kata saya: “ Adalah orang muda ini dari kalangan wali-wali yang sampai kepada Allah.”

Saya kata ini kisah yang diceritakan Imam Sufyan As Tsauri yang terkenal dan dinukilkan oleh Imam Abu Na’im, pengarang kitab Hilyatul Auliya’ dan Ibnu basykul dan telah dinukilkan oleh “Muhadissud Dunya” Sayyid As Syeikh Abdullah As Siddiq Al Ghamaari daripada ulama Al Azhar dan ulama Al Maghrib dalam kitabnya Fadhailun Nabiyyi fil Quranil Illahiyatu Fissolah ‘Ala Khairil Bariyyah dicetak oleh maktabah Al Kahirah Syari’ As Sonadiqqiyah, Medan, Al Azhar, Mesir.

Sedikit masa yang lalu saya telah mendengar seorang penceramah di suatu radio dengan jahil dan lalai dia mengatakan tiada mungkin dan tiada boleh seseorang menerima wirid dan amalan daripada Rasulullah SAW di dalam kaabah zaman sekarang atau sebelum sekarang, adalah Al ‘Alamah Ibnu Taimiyah menegur ahli taswuf bagaimana tersebut dalam kitab Al Fatawal Hadissiyah atau pengikut-pengikut Al hafiz bin Rejab dan Az Zahbi atau sefaham mereka seperti Syeikh Abu Bakar Al Jazairi dan Syeikh Halali yang ada di Madinah Almunawarrah itu kedua-duanya tiada senang hati dengan ahli bait Rasulullah SAW dan dengan ahli tasawuf.

Maka nyata dari kata-kata ulama yang di atas ini, bahawa berjumpa dengan Nabi SAW waktu tidur atau waktu jaga, dan Nabi SAW mengajar akan sesuatu ilmu, suatu doa, suatu selawat dan suatu zikir, adalah HARUS DAN BOLEH, bagaimana telah berlaku pada ulama-ulama, ahli ilmu Islam, wali-wali Allah dan orang-orang solehin, kita berkata perkara seperti ini termasuk di bawah erti kata “ fadhoilul ‘amal”.

Adapun perkara halal dan haram telah tertutup dengan terhenti wahyu kepada Nabi kita dan dengan wafat Nabi kita SAW sebagaimana kita telah sebutkan di awal-awal rencana ini.

Sila baca kitab-kitab berkenaan wali-wali Allah seperti Syawahidul Haq karangan Syeikh Yusuf Anbahani dan kitab Lathoifulminan karangan Al Arifbillah Tajuddin bin ‘Athaillah As Sakandari yang mati tahun 709 Hijrah dan Jami’u karamatil Auliya’ karangan Syeikh Anbahani dan Hilyatul Auliya’ oleh Al Hafiz Abu Na’im dan karangan Al ‘Alamah Dr. Abdul Halim Mahmud, Mesir dan lain-lain.

~Pihin Datuk Ser Maharaja Datuk Seri Utama
Awang Haji Ismail bin Umar Abdul Aziz
Mufti Kerajaan Brunei Darussalam

Pejabat Mufti,
Kementerian hal Ehwal Agama,
Negara Brunei Darussalam.
14 Jamadil Awal 1408H
4 Januari 1988.

ISLAM...

Assalamu'Alaikum W.B.T...

Tonggak Islam


Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah ibn ‘Umar ibn al-Khatthab ( رضي الله عنهما ) beliau berkata:
Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: lslam itu teribna atas lima perkara: Naik saksi mengaku bahawa sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Muhammad itu adalah Utusan Allah, Mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji ke baitulLah dan menunaikan puasa pada bulan Ramadhan.


Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan al-lmam Muslim (Al-Imam al-Bukhari meriwayatkannya dalam Kitab (al-Iman) bab باب الإیمان وقول النبي صلى الله عليه وسلم بني الإسلام على خمس)) ) hadis nombor 8. Al-Imam Muslim dalam bab ( باب بيان أرآان الإسلام ودعائمه العظام) hadis nombor 16).




Pokok Perbincangan Hadis :


1) Binaan Islam :

Diibaratkan sebagai penyelamat manusia yang mengeluarkannya dari daerah kekufuran dan melayakkannya masuk syurga serta jauh dari neraka. Struktur binaan yang kemas dan kukuh dengan asas-asas dan cabang-cabangnya.

2) Ikatan Antara Rukun-Rukun Islam :

Sempurna iman bagi yang menerima sepenuhnya. Bagi yang menolak semuanya – hukumnya kafir. Sesiapa yang ingkar salah satu – bukan muslim (ijma). Sesiapa yang menerima tapi malas melakukannya (kecuali syahadah) – fasiq. Sesiapa yang melakukan dan iqrar secara pura-pura – munafiq

3) Matlamat Ibadat :

Syahadah – syarat diterima amalan lain.
Solat – penghubung antara hamba dengan tuhannya – pertama dihisab .
Zakat – suburkan harta/ berkat – sucikan diri.
Haji – tidak harus bagi orang yang berkemampuan untuk itu melewatkan pemergiannya,wajib segerakan. Haji Mabrur merupakan sebaik-baik jihad.
Puasa – syahwat dikengkang/ maksiat terhindar – sebab kepada ketinggian darjah di sisi Allah.


Pengajaran hadis:

Hadis ini juga menerangkan tentang rukun lslam lima perkara. Hadis ini mengumpamakan lslam sebagai sebuah binaan yang tertegak megah dengan lima batang tiang. Tanpa lima perkara ini lslam seseorang akan goyah dan runtuh. lni membayangkan betapa rukun-rukun ini mestilah ditegakkan oleh setiap muslim dengan penuh ikhlas dan tanggungjawab. Menegakkan rukun lslam bermakna kesempurnaan, keteguhan, keutuhan dan keelokan binaan lslam sebaliknya kecuaian bererti keruntuhan, kehancuran dan kemusnahan lslam.


Rujukan : Ustazazhar.com

Bersih 2.0...

Assalamu'alaikum w.b.t...

Semoga Allah sudi melimpahkan belas kasihan-Nya kepada kita semua...
Allahumma Amiin...










 
 9 Julai 2011 yg cuuukup hebat...
Hari yg menunjukkan bahawa setiap yg senang itu tidak semestinya baik...
dan susah tidak semestinya tidak baik..

Semoga Allah membukakan pintu hatimu wahai pemimpin-pemimpin yang zalim...

Ingat!!!
Tiada yang hebat melainkan Allah...
Apa yang sedang ada ditanganmu bukanlah milikmu...
tetapi semata-mata milik-Nya...

Ingat!!!
Mati itu adalah cita2 bagi insan yg diangkat oleh-Nya...
dan takut mati itu adalah bagi insan yg disembam mukanya oleh-Nya ke dasar kehinaan...

Ingat!!!
ini baru permulaan..
Islam yang dianggap hina akan keluar dari kepompong buatan si pengampu yahudi dengan hanya berbekalkan kalimah keramat " La Ilaaha Illallah Muhammadur Rasulullah "...!!!



Cuba Kamu semua fikir...
Kami boleh menggunakan senjata seperti kamu semua...
tetapi kami masih waras untuk menyakiti manusia yg lain...
kerana keamanan adalah waqi' kami yang paling utama...
Walhasil...
kami hanya membiarkan sahaja tubuh kami lumat ditumit kamu yg penuh dengan kehinaan...
Kami biarkan sahaja darah kami mengalir dijalanan agar dapat menjadi bukti kukuh di hadapan Allah Rabbul Jalil...
tetapi ingat!!!
itu bukan bermakna kami lemah...
tetapi ia membawa erti kamu semua yg lemah...
sehinggakan kami tidak perlu menggerakkan tulang temulang kami walau sedikit pun untuk melawan kamu semua...

Kamu terlalu Lemah wahai manusia...
Sedarkah Kamu semua...???
Kamu terlalu lemah...
meeemang lemah...

Mengapa kami berkata sedemikian rupa...

Thoyyib...

Fikir sejenak dan Sematkan persoalan ini dicelah-celah kekosongan mindamu itu...!!!
Apakah yg akan terjadi seandainya ratusan ribu yg hadir pada tanggal 9 julai 2011 itu menghunuskan senjata seperti kamu semua hunuskan kepada kami...???
Sudah pasti pada hukum adatnya...
yakni Adat menyatakan isteri kamu semua menjadi balu...dan anak-anak kamu semua menjadi yatim...
Tetapi kami tidak berbuat sedemikan...
Kami berlaku ehsan kepada kamu semua...
tetapi dimana ehsan kamu wahai si penjaga negara...???
Dimana rasa fitrah kasihmu...???
 Sahabat kami telah kamu sakiti...!!!
Ulama' yang bersih hatinya kamu sakiti...!!!
pemimpin yang menjadikan Ulama' sebagai teras perjalanan mereka kamu sakiti...!!!
Apa salah mereka...???
Apa alasan kamu semua dikala hari Penentuan kelak di hadapan Allah yg Al-Hakim...???

Fikir wahai manusia...
Fikir...!!!

Apakah salah kami...???
Salahkah kami ingin menuntut kemurnian dalam demokrasi dibumi sendiri...???

Faham dahulu...Baru bertindak...
Apa salah rakyat sehingga diperlakukan dengan sebegitu zalim...???
Wahai Pemimpin...
kami akui kebijaksanaanmu sebagai seorang manusia...
tetapi kamu tidak ada sedikitpun kebijaksanaan sbagai insani...

Pemimpin yang baik pekertinya terhadap Allah dan makhluk ciptaan-Nya...
itulah yg kami cari...
Bukannya dirimu...
dan bukannya kuncu-kuncumu yg gilakan harta yg sedemikian hina...

Ingat...!!!
kematian sahabat kami saudara Allahyarham mujahid Baharuddin Ahmad itu menunjukkan kemenangan bagi kami...
Al Fatihah ila arwahi hadzal mujahid Baharuddin Ahmad..Annallaha yu'li darajatuhu fil jannah insya'Allah...
Terima kasih wahai pemimpin yang zalim kerana memberi peluang dan ruang untuk kami membuktikan rasa cinta kami kepada Allah da Rasul-Nya...

Selagi hukum Allah tidak terlaksana...
Tubuh kami akan sentiasa bergerak agar dapat ia dilaksanakan dengan jayanya...

Khassah kpd seluruh pemimpin di Terengganu...terutama di BESUT...
***Wahai Pemimpin di Besut...
Ingat...!!!
jika ada seorang yg memekik2 namamu di medan ilmu di rumah2 Allah dimasa hadapan kelak...
yakni seorang yg memekik2 dalam menentang kezalimanmu di bumi Besut nanti...
ketahuilah itulah diriku...

Allahumma Amin...

Wassalamu'alaikum w.b.t...

Hakikat Cinta Si Syabab...

Assalamu'alaikum W.B.T...

Sahabat yang kumuliakan...(^_^)

CINTA...
Hebatnya penangan cinta boleh menyebabkan manusia lupa...
lupa segala-galanya...
satu perasaan yang tidak dapat dilihat secara kasar melalui mata kita tetapi dapat dilihat kesannya pada zahir penglihatan kita...
Satu makhluk Allah yang di benam kedalam setiap hati makhluk Allah S.W.T...tidak kira ia dari kalangan Manusia,jin ataupun binatang...Tidak kira samada ia mukallaf atau tidak...
Diiringi ia bersama satu unsur yang padanya terdapat 2 belahan unsur yang saling berlawanan arah tujunya iaitu Iman dan nafsu...
Sihat Aqalnya...maka Imanlah Thariqnya...
Rosak Aqalnya...maka Nafsulah Thariqnya...
Sungguh hebat jika kita bicarakan tentang CINTA...
tapi,untuk entry kali ni kita tidak jadikan ia sebagai syarahnya...cuma di ambil sebagai teras maudhu' ceritanya...Insya'Allah di lain episod kita ceritakan...
Insya' Allah entry kali ni hanya ingin berkongsi satu kisah yang di ambil dari seorang sahabat seperjuangan dari SMKA Nurul Ittifaq Bach SPM 2005...Insya'Allah bakal menjadi Ustaz yang hidup dan matinya bersama ISLAM... (^_^)
Cinta antara manusia...Ia wujud tetapi Fana' ia...
Cinta kepada Allah...Ia Wujud malah baqa' ia...
DIALOG ANTARA USTAZ DAN PELAJAR YANG DITANGKAP KHALWAT...

* Keterangan: Ikuti dialog oleh satu pasangan yang sedang berkhalwat tertangkap oleh seorang ustaz. Hayatilah intisari dialog ini, dan muhasabahlah diri kita masing-masing.

Pelajar: Kami tidak berzina!

Ustaz: Maaf, saya tidak menuduh awak berzina tetapi awak menghampiri zina.

Pelajar: Kami hanya berbual-bual, berbincang, bertanya khabar, minum-minum adakah itu menghampiri zina?

Ustaz: Ya, perbuatan ini menjerumus pelakunya ke lembah perzinaan.

Pelajar: Kami dapat mengawal perasaan dan kami tidak berniat ke arah itu.

Ustaz: Hari ini, ya. Besok mungkin kamu kecundang. Kamu dalam bahaya. Jangan bermain dengan bahaya. Iblis dan syaitan akan memerangkap kamu. Sudah banyak tipu daya iblis yang mengena sasaran. Iblis amat berpengalaman dan tipu dayanya amat halus. Ia telah menipu nenek moyang kita yang pertama, Adam dan Hawa. Jangan pula lupa. Siapalah kita berbanding Adam dan Hawa? Ia ada lebih 1001 cara. Ingat pesanan Rasulullah S.A.W.: “Janganlah engkau bersendirian dengan seorang wanita kecuali ketiganya adalah syaitan.” (Riwayat Tabrani). Syaitan akan menghembus perasaan berahi, kita lemah untuk menghadapi tipu daya iblis.

Pelajar: Tidak semestinya semua orang bercinta menjurus kepada penzinaan. Ada orang bercinta dalam telefon dan hantar SMS sahaja. Tak pernah bersua muka pun.

Ustaz: Betul. Itu adalah salah satu yang dimaksudkan dengan menghampiri zina. Memang pada awalnya tidak bersua muka, tapi perasaan pasti bergelora. Lambat laun desakan nafsu dan perasaan serta hasutan iblis akan mengheret kepada suatu pertemuan. Pertemuan pertama tidak akan terhenti di situ sahaja, percayalah, ia akan berlanjutan dan berterusan. Tidakkah itu boleh membawa kepada penzinaan akhirnya?

Pelajar: Takkan nak berbual-bual pun tak boleh? Itu zina juga ke?
Ustaz: Zina ada bermacam-macam jenis dan peringkatnya, ada zina betul, ada zina tangan (berpegang-pegangan), ada zina mata (melihat kekasihnya dengan perasaan berahi). Melihat auratnya juga zina mata. Zina hati iaitu khayalan berahi dengan kekasih sepertimana yang dinyatakan oleh Rasulullah S.A.W.: “Kedua-dua tangan juga berzina dan zinanya adalah menyentuh. Kedua kakinya juga berzina dan zinanya adalah berjalan (menuju ke tempat pertemuan). Mulut juga berzina dan zinanya ialah ciuman.” (Muslim dan Abu Daud). Sebenarnya jalan dan lorong menuju kepada penzinaan amat banyak. Jangan biarkan diri kita berada atau melalui mana-mana jalan atau lorong yang boleh membawa kepada penzinaan.

Pelajar: Duduk berdiskusi pelajaran tak boleh ke? Bincang pelajaran sahaja!

Ustaz: Berdiskusi pelajaran, betul ke? Jangan tipu. Allah tahu apa yang terselit dalam hati hamba-hambanya. Kita belajar nak keberkatan. Kalau cemerlang sekali pun, kalau tak diberkati Allah, kejayaan tidak akan membawa kebahagiaan. Hidup tidak bahagia, akhirat lebihlah lagi. Jangan berselindung disebalik pelajaran yang mulia. Allah suka kepada orang yang berilmu. Jadi belajar hendaklah ikut batas dan ketentuan Allah. Belajar akan jadi ibadat. Adakah berdiskusi macam ini akan ditulis ibadat oleh malaikat Raqib dan Atiq?

Pelajar: Sungguh! Bincang pelajaran sahaja. Ni study group.

Ustaz: Study group? nampak macam lain macam saja. Manja, senyum memanjang, tak macam gaya berdiskusi. Takkan study group berdua sahaja? Ke mana-mana pun berdua. Kalau ye pun carilah study group ramai-ramai sedikit. Kalau duduk berdua-dua macam ini.. betul ke bicang pelajaran? Jangan-jangan sekejap saja bincang pelajaran, yang lain tu banyak masa dihabiskan dengan fantasi cinta!

Pelajar: Tidaklah. Sungguh berbincang pelajaran.

Ustaz: Baik sungguh awak berdua. Takkan awak berdua tak perasan apa-apa? Awak kurang sihat ke? Ingat, kita bukan malaikat, tak ada nafsu. Kita manusia. Jangan nafikan fitrah manusia. Kita ada nafsu, ada keinginan. Itulah manusia.

Pelajar: Kami sama-sama belajar, study group, saling memberi semangat dan motivasi.

Ustaz: Tak adakah kaum sejenis yang boleh dijadikan rakan belajar? Habis sudahkah kaum sejenis yang boleh memberikan motivasi? Jangan hina kaum sejenis. Ingat banyak orang cemerlang yang belajar hanya dengan kaum sejenis. Lebih tenang perasaan, tidak terganggu, dapat berkat dan rahmat pula.

Pelajar: Takkanlah tak ada langsung ruang yang dibenarkan dalam islam untuk bercinta? Adakah islam membunuh terus naluri cinta?

Ustaz: Naluri adalah sebahagian daripada kesempurnaan kejadian manusia. Naluri ingin memiliki dan suka kalau dimiliki (sense of belonging) adalah fitrah. Kalau naluri tidak wujud pada diri seseorang, tak normal namanya. Islam bukan datang untuk membunuh naluri seperti yang dilakukan oleh para paderi atau sami. Jangan nafikan naluri ini. Jangan berbohong pada diri sendiri. Bukan salah dan berdosa kalau perasaan itu datang tanpa diundang. Itu adalah fitrah. Maka tundukkan naluri itu untuk patuh pada perintah Allah. Jadilah manusia yang sihat pada nalurinya. Jangan jadi malaikat! kerana Allah ciptakan kita sebagai manusia. Dunia dan segala isinya akan hambar tanpa naluri nafsu.

Pelajar: Tentu ada cinta secara Islam.

Ustaz: Cinta secara islam hanya satu iaitu perkahwinan. Cinta berlaku setelah ijab qabul; cinta lepas kahwin. Itulah cinta sakral dan qudus. Cinta yang bermaruah. Bukan cinta murahan. Inilah kemuliaan agama kita, Islam. Apabila Islam melarang cinta antara lelaki dan wanita sebelum kahwin, ia membawa kepada sesuatu sebagai ganti yang lebih baik iaitu perkahwinan. Sabda Rasulullah S.A.W.: “Tidak ada yang lebih patut bagi dua orang yang saling mencintai kecuali nikah.” (Ibni Majah). Cinta adalah maruah manusia. Ia terlalu mulia.

Pelajar: Kalau begitu, cinta semua menghampiri kepada penzinaan?

Ustaz: Ya, kalau lelaki dan perempuan bertemu tentu perasaan turut terusik. Kemudian perasaan dilayan. Kemudian teringat, rindu. Kemudian aturkan pertemuan. Kemudian duduk berdua-dua. Kemudian mencari tempat sunyi sedikit. Kemudian berbual panjang sehingga malam gelap. Hubungan makin akrab, dah berani pegang tangan, duduk makin dekat. Kalau tadi macam kawan, sekarang macam pengantin baru. Bukankah mereka semakin hampir dan dekat dengan penzinaan? Penghujung jalan cinta adalah penzinaan dan kesengsaraan. Kasihanilah diri dan ibu bapa yang melahirkan kita dalam keadaan putih bersih tanpa noda seekor nyamuk sekalipun!

Pelajar: Masih ramai orang yang bercinta tetapi tetap selamat, tidak sampai berzina. Kami tahan diuji.

Ustaz: Allah menciptakan manusia. Dia tahu kekuatan dan kelemahan manusia. Manusia tidak tahan ujian. Oleh itu, Allah memerintahkan supaya diri menjauhi perkara yang ditegah. Takut manusia kecundang.

Pelajar: Jadi manusia itu tak tahan diuji?

Ustaz: Kita manusia dari keturunan Adam dan Hawa, sejak awal penciptaan manusia, Allah telah mengingatkan manusia bahawa mereka tidak tahan dengan ujian walaupun kecil. Allah takdirkan satu peristiwa untuk iktibar manusia. Allah tegah Adam dan Hawa supaya jangan makan buah Khuldi dalam syurga. Allah tahu kelemahan pada ciptaan manusia. Tak tahan diuji. Oleh itu, Allah berpesan pada Adam dan Hawa, jangan hampiri pokok Khuldi. Firman Allah S.W.T.: “Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu di dalam syurga serta makanlah dari makanannya sepuas-puasnya, apa sahaja yang kamu berdua sukai dan jangan hampiri pokok ini, (Jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari orang-orang yang zalim.” (Al-A’araf:ayat 19).Tegahan yang sebenarnya adalah memakan buah Khuldi. Tetapi Allah tahu sifat dan kelemahan Adam dan Hawa. Jika menghampiri perkara yang ditegah, takut nanti mereka akan memakannya kerana mereka tidak dapat mengawal diri. Demikianlah dengan zina. Ditegah zina. Maka jalan ke arah penzinaan juga dilarang. Takut apabila berhadapan dengan godaan penzinaan, kedua-duanya kecundang. Cukuplah kita belajar daripada pengalaman nenek moyang kita Adam dan Hawa.

Pelajar: Tetapi cinta lepas kahwin banyak masalah. Kita tak kenal pasangan kita secara dekat. Bercinta adalah untuk mengenali hati budi pasangan sebelum membuat keputusan sebelum berkahwin.

Ustaz: Boleh percaya dengan perwatakan masa sedang bercinta? Bercinta penuh dengan lakonan yang dibuat-buat dan kepura-puraan. Masing-masing akan berlakon dengan watak yang terbaik. Penyayang, penyabar, pemurah dan pelbagai lagi. Masa bercinta adalah alam lakonan semata-mata. Masa bercinta, merajuk ada yang akan pujuk. Jangan haraplah lepas kahwin bila merajuk ada yang memujuk. Banyak orang yang kecewa dan tertipu dengan keperibadian pasangan semasa bercinta. Perangai jauh berbeza. Macam langit dan bumi. Masa bercinta, dia seorang yang amat penyayang, sabar tunggu pasangan terlambat berjam-jam. Tapi bila dah kahwin lewat 5 minit dah kene tengking. Jadi, perwatakan masa bercinta adalah suatu kepuraan yang hipokrit.

Pelajar: Percayalah kami bercinta demi merancang kebahagiaan hidup nanti.

Ustaz: Bagaimana diharap kebahagiaan jika tidak mendapat redha Allah? Kebahagiaan adalah anugerah Allah kepada hamba-hambanya yang terpilih. Kebahagiaan bukan ciptaan manusia. Manusia hanya merancang kebahagiaan. Allah yang akan menganugerahkannya. Bagaimana mendapat anugerah kebahagiaan itu jika jalan mencapainya tidak diredhai Allah. Kebahagiaan hidup berumah tangga mestilah melalui proses yang betul. Sudah tentu prosesnya bukan cinta sebegini. Allah tidak meredhai percintaan ini. Cinta yang diredhai, cinta selepas kahwin. Bagaimana untuk mendapat keluarga yang bahagia jika langkah memulakannya pun sudah canggung. Bagaimana kesudahannya?

Pelajar: Tanya sikit adik angkat, kakak angkat, abang angkat boleh ke? Ganti bercinta.

Ustaz: Semua itu adalah perangkap syaitan. Hakikatnya sama. Cinta yang diberi nafas baru. Kulitnya nampak berlainan, tapi isinya sama. Adik, abang, kakak angkat adalah suatu bentuk tipu daya iblis dan syaitan. Manusia yang terlibat dalam budaya “angkat” ini sebenarnya telah masuk ke dalam perangkap syaitan. Cuma menunggu masa untuk dikorbankan.

Pelajar: Jadi seolah-olah orang yang bercinta telah hilang maruah diri?

Ustaz: Mengukur maruah diri bukan ditentukan oleh manusia tetapi oleh Pencipta manusia. Sebab ukuran manusia sering berbeza-beza. Orang yang sedang mabuk bercinta mengatakan orang yang bercinta tidak menjejaskan apa-apa maruah dirinya. Manakala bagi orang yang menjaga diri, tidak mahu terlibat dengan cinta sebelum kahwin akan mengatakan orang yang bercinta sudah tidak bermaruah. Cintanya ditumpahkan kepada orang yang belum layak menerima cinta suci. Kalau begitu ukuran maruah atau tidak ditentukan oleh Allah.

Pelajar: Adakah orang yang bercinta hilang maruah?

Ustaz: Antara kemuliaan manusia ialah maruah dirinya. Orang yang bercinta seolah-olah cuba menggadaikan maruahnya kerana mereka sedang menghampiri penzinaan. Manakala orang yang bercinta dan pernah berzina tidak layak berkahwin kecuali dengan orang yang pernah berzina juga. Mereka tidak layak untuk berkahwin dengan orang yang beriman. Allah berfirman: “Lelaki yang berzina(lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik; dan perempuan yang berzina itu pula(lazimnya) tidak ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik.Dan perkahwinan yang demikian terlarang kepada orang-orang yang beriman.” (Surah an-Nur:Ayat3). Jadi orang yang pernah bercinta juga tidak sesuai untuk berkahwin dengan orang yang tidak pernah bercinta. Tidakkah itu suatu penghinaan dari Tuhan.

Pelajar: Jadi orang yang bercinta hanya layak berkahwin dengan orang pernah bercinta?

Ustaz: Itulah pasangan yang layak untuk dirinya kerana wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik. Lelaki yang baik untuk wanita yang baik.

Pelajar: Kami telah berjanji untuk sehidup semati.

Ustaz: Apa yang ada pada janji cinta? Berapa banyak sudah janji cinta yang musnah? Lelaki, jangan diharap pada janji lelaki. Mereka hanya menunggu peluang keemasan sahaja. Habis madu, sepah dibuang. Pepatah itu diungkap kerana ia sering berulang sehingga menjadi pepatah.

Pelajar: Masihkah ada orang yang tidak bercinta pada zaman ini?

Ustaz: Ya, masih ada orang yang suci dalam debu. Golongan ini sentiasa ada walaupun jumlah mereka kecil. Mereka akan bertemu suatu hari nanti. Mereka ada pasangannya. Firman Allah S.W.T.: “Dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya (yang memelihara dirinya daripada melakukan zina) Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.” (Al-Ahzab:ayat 35).

Pelajar: Bagaimana kami?

Ustaz: Kamu masih ada peluang. Bertaubatlah dengan taubat nasuha. Berdoalah serta mohon keampunan dariNya. Mohonlah petunjuk dan kekuatan untuk mendapat redhaNya.

Pelajar: Kami ingin mendapat redha Tuhan. Tunjukkan bagaimana taubat nasuha.


Ustaz: Taubat yang murni. Taubat yang sebenar-benarnya. Taubat yang memenuhi 3 syarat:
1.Tinggalkan perbuatan maksiat. Putuskan hubungan cinta yang tidak diredhai Allah ini.
2.Menyesal. Menginsafi diri atas tindak tanduk hidup yang menjurus diri dalam percintaan.
3.Berazam. Bertekad di dalam hati tidak akan bercinta lagi dengan sesiapa kecuali dengan seseorang yang bernama isteri atau suami. Saatnya adalah setelah ijab Kabul.

Pelajar: Ya Allah. Hambamu telah tersesat jalan. Ampunilah dosa-dosa hambamu ini. Sesungguhnya engkau Maha Pengampun dan Maha Penerima Taubat. Berilah kekuatan kepadaku untuk menghadapi godaan keremajaan ini. Anugerahkan kepadaku perasaan benci kepada maksiat. Hiasilah diriku dengan akhlak yang mulia. Ibu dan ayah, anakmu berdosa. Engkau jagaku sedari kecil dengan kasih sayang. Mengapa kucurahkan kasihku kepada orang lain. Oh tuhan, hambamu yang berdosa. Amin, Ya Rabb.

Ustaz: Moga Allah terima taubatmu.

Pelajar: Kita berpisah kerana Allah, kalau ada jodoh tidak ke mana.

Ustaz: Ya Allah, bantulah mereka. Kini mereka datang ke pintuMu, mencari redhaMu, terimalah taubat mereka...

Itulah alkisahnya...
Alasan tidak sesekali dapat menafikan hukum...
Batil tidak sesekali dapat di ganti dengan yang Haq...
Ada yang mengatakan sudah menjadi fitrah manusia melakukan hal yaang sedemikian...
sahabatku,
Sebenarnya fitrah manusia itu adalah suci...sedangkan hal yang sedemikian rupa adalah kotor...adalah satu yang tidak mungkin berlaku dua keadaan yang begitu berbeza menjadi satu...
Itu bukan fitrah kehidupan manusia...
Fitrah adalah satu titik ghaib yang Allah Kurniakan kepada kita...
yang mana aqal yang sihat sahaja mampu menjadikan ia sebagai permulaan bagi garis perjalanannya...
fitrah manusia membawa maksud kembali...
setiap kerjanya akan kembali merujuk kepada asal kejadiannya yang bersih...
Setiap aqal yang sihat lagi waras,
maka dapat ia merasakan sebarang kecacatan di dalam amalnya...
seperti mana air yang begitu tawar...jika dicampur bersama garam...pasti akan cepat di kesan perbezaan rasanya...
tidak dapat tidak aqal yang waras lagi sempurna itu adalah aqal yang di jadikan Al-Quran dan Hadis sebagai teras Aqalnya...

sekarang sudah menjadi trend cinta yang sebegini...
tidak kira tua atau muda...
kecil atau besar...
Ustaz dan Ustazah pun ada...subhanallah Tabaarakallah...
Siswa dan siswi lebih-lebih lagi yang majoring dalam bidang keagamaan...
dijadikan alasan-alasan yang tidak munasabah bagi mengharuskan suatu hal yang sudah sepakat para ulama' mengatakan ia Haram di dalam kehidupan kemanusiaan...

jadi,saya menyeru kepada kaum-kaumku ya ma'syarassyabab...
Jauhilah ia...hindarilah ia...
kita masih muda...masa kita tidak menentu keadaannya...Mungkin dirimu dipanggil sesaat kehadapan...mungkin dikala tuamu...
Oh...
betapa malang jika kita meninggalkan dunia dalam keaadaan yang muda...lebih malang lagi bagi si tua yang matinya di dalam keadaan muda...betapa malangnya mereka...
Wahai kaumku...
jadilah kamu seorang tua...
Seandainya dadamu dipenuhi dengan ilmu yang manfaat dan amal yang mukhlis,insya'Allah tergolong dikalangan para Syuyukh di sisi Allah S.W.T...
Andai kematian menjemput,maka kematianmu itu adalah termasuk didalam kalangan para syuyukh...orang yang mati tua disisi Allah...

Ingat pesan Allah...

Surah Ali-Imran:Ayat 31

~Katakan wahai Muhammad kepada umatmu,jika benar kamu mencintai Allah...maka ikutilah aku...nescaya Allah menyayangimu dan mengampuni segala dosa-dosamu...Sungguh,Allah itulah yang Maha Pengampun lagi Maha Pengasihani...

Itulah jalan Cinta yang haqiqi wahai sahabatku...

Insya'Allah Rahmat Allah senangtiasa bersama dengan insani yang berjalan diatas jalan yang benar...

Wassalamu'alaikum W.B.T...