Pages

Apakah ia Yaqazah dan hukumnya...

Assalamu'alaikum W.B.T...

Hukum Bertemu Nabi Secara Yaqazah (Jaga)




Soalan:
Adakah harus dan boleh menerima zikir dan doa daripada Rasulullah SAW pada masa sekarang, waktu yang menerimanya itu jaga atau waktu tidur dalam mimpi?


Jawapan:
Hukumnya harus dan boleh.


Huraian Jawapan:
Berkata Syeikh Abdul Qadir bin Syeikh Abdullah bin Syeikh Al Idrus Baalawi yang hidup tahun 978 Hijrah dan mati tahun 1038 Hijrah dalam kitabnya An Nurus Safir ‘An Akhbaril Quranil ‘Asyir:

Adalah Imam Al Hafiz As Sayuti itu ada banyak karamah terbit daripadanya itu, kebanyakannya itu berlaku sesudah ia mati (dan matinya pada tahun 911 Hijrah).

Berkata Al ‘Alamah Syeikh Zakaria bin Syeikh Muhammad Al Mahalli As Syafie bahawa Imam As Sayuti itu telah ditimpa oleh sesuatu perkara yang besar pada suatu masa, maka saya minta daripadanya, menulis surat wasiat atau pesanan kepada sesetengah anak muridnya, melalui saya, maka Imam As sayuti enggan berbuat begitu dan Imam itu telah melihatkan kepada saya akan sehelai kertas yang ditulis dengan tangan Imam itu, bahawa: “Saya telah berhimpun dengan Nabi SAW waktu jaga banyak kali lebih dari 70 kali dan sabda Nabi SAW kepada saya, yang maksudnya:

“Bahawa siapa yang ada keadaannya begini, maka tiadalah ia berhajat pada pertolongan dan bantuan daripada sesiapa.”

Telah dihikayatkan daripada Imam As Sayuti telah berkata:

“Saya telah melihat dalam tidur saya, seolah-olah saya ada di hadapan majlis Nabi SAW, maka saya sebutkan sebuah kitab yang saya telah mula mengarangnya dalam perkara hadis dan sunat iaitu Jam’ul Jawaami’ , maka saya berkata kepada Nabi SAW: Hamba akan bacakan sedikit daripada isi kitab itu, maka sabda nabi SAW: Bawalah kepada saya, hai guru hadis (Ya Syeikhul Hadis).” Berkata Imam As Sayuti: “ Mimpi itu suatu khabar gembira kepada saya lebih besar dari dunia dan seluruhnya.”

Dari kitab Khususiyyatu Yaumil Jum’ah karangan Imam As Sayuti dicetak di Damsyik tahun 1386-1966 Hijrah.

Al Habib Syeikh Abdul Qadir Al Idrus itu juga ada mengarang kitab bernama Ta’riful Ahyai Bifadhailil Ahya’I Kitab “Ahya” karangan Imam Al Ghazali yang mati tahun 505 Hijrah yang terkenal itu dan kisah Imam As Sayuti itu ada disebutkan oleh Syeikh Najmuddin Al Ghazzi dalam kitabnya Al Kawakibus Saairah.

Adalah Al Habib Umar bin Abdul Rahman Al ‘Athas yang empunya ratib bernama “ Ratibul ‘Athas” yang terkenal di Malaysia dan rantau sebelah ini, yang mati pada atahun 1072 Hijrah dan ditanam di Huraidah Hadramaut (Selatan Tanah Arab) , ada berlaku di tangannya beberapa perkara yang ganjil dan pelik atau karamah setengah dari perkara-perkara itu:

1. Apabila Al Habib Umar itu pergi ziarah kubur bapanya Sayyid Abdul Rahman , ia berkata pada kubur bapanya dan ia mengkhabarkan segala perkara dengan penglihatan dan nampak dengan matanya.

2. Kerabatnya berkata sedang kami duduk di rumah kami dan di sisi kami Al Habib Umar Al ‘Athas, maka tiba-tiba ia memerah akan lengan bajunya dengan air bertitik, maka kami bertanya, “Ya Sayyidi, apa air ini?” Ia menjawab, “ Bahawa suatu kumpulan orang kekasih kami, telah rosak perahu mereka di dalam laut Syam (Tanah Hajaz), dan mereka minta tolong daripada kami maka kami datang membantu mereka, mereka dilepaskan oleh Tuhan mereka dari bencana alam, dan basah ini dari air laut itu.”

3. Apabila Habib itu beribadah kepada Tuhannya dengan seorang diri jauh daripada manusia maka Nabi SAW datang kepadanya hal keadaannya nyata dan Nabi SAW menyuruh akan dia mengajak manusia kepada jalan Allah Taala, dan menunjuk dan mengajar mereka. Mengapa saya tiada melihat akan keadaan Rasulullah SAW itu dengan nyata, kerana jikalau terdinding daripada saya oleh Nabi SAW sekejap sahaja, nescaya tiada saya bilangkan diri saya daripada kalangan orang Mukmin, dan mengapa terdinding Nabi SAW daripada saya padahal baginda SAW itu ain wujud saya.

4. Seorang lelaki meminang akan seorang perempuan berkahwin dengannya, maka bapa perempuan dan saudaranya enggan menerimanya, maka ia marah dengan hal yang beraku itu dan ia kembali ke rumahnya dan ia berazam akan membunuh mereka, apabila malam gelap ia menyandang senjatanya dan keluar menuju kepada bapa dan saudara perempuan itu, di antara ia berjalan-jalan tiba-tiba ia merasa seorang yang memegang tangannya seperti harimau yang ganas dan ia berpaling, tiba-tiba ia melihat Habib Umar Al ‘Athas, maka ia tercengang gementar dan Al habib itu berkata, “ Ke mana engkau hendak pergi?” Ia berkata, “Saya ada mempunyai suatu hajat.” Katanya, “ Engkau tiada mempunyai suatu hajat, tetapi engkau keluar ini kerana berbuat begini, begini. Hendaklah engakau kembali ke rumah engkau.” Dan Al Habib itu melepaskan tangannya dan laki-laki itu pun kembali ke rumahnya. Tiada beberapa hari datang bapa perempuan dan saudaranya mengambil hatinya dan menerangkan sebab-sebab penolakan pinangan itu dan meminta maaf. Dan keduanya berkata, “Perempuan itu bagi engkau. Demi Allah kami tiada mengahwinkannya selain daripada engkau.” Kemudian laki-laki itu berkahwin dengan perempuan itu, dan mendapat anak-anak sepertimana khabar gembira yang terbit daripada Al Habib Umar Al ‘Athas itu.

Ini kita petik dari Fathu Rabbin Nas huraian Ratib Habib Umar bin Abdul Rahman Al ‘Athas, telah dihimpunkan oleh Maulana Al ‘Arif Sayyid Hussin bin Almarhum Al ‘Alamah Sayyid Abdullah bin Muhammad bin Muhsin bin Hussin Al ‘Athas dalam bahasa Melayu pada tahun 1342 Hijrah.

Dihikayatkan oleh Abu Abdullah Al Qastalani bahawa ia melihat Nabi SAW dalam tidur dan ia mengadukan kepada Nabi akan sengsara hidup dan fakirnya dan papanya. Maka Nabi SAW mengajarkan dia akan suatu doa.

Dari kitab Al Wasaailu Syafi’ah oleh Imam Muhaddis Sayyid Muhammad Bin Ali Khidr yang mati tahun 960 Hijrah, dan Sayyid itu mengulas doa yang di atas ini.

Ketahui olehmu barangsiapa yang menyebut akan “ Asmaul Husna” yang di atas ini, dan dia berperangai dengan perangai kalangan orang-orang yang terpilih daripada hamba Allah, dan beradab dengan adab wali-wali Allah, maka Allah Taala akan hidupkan roh “Asmaul Husna” akan hati orang itu. Dan Allah akan terangkan akan hatinya dengan cahaya hakikat “Asmaul Husna” itu. Dan ia tiada memohon sesuatu daripada Allah melainkan Allah berikan apa yang ia mohon.

Adalah Habib Al Arifbillah Ahmad bin Hussin bin Abdullah Al ‘Athas, datuk kepada Al Habib Sayyid Muhammad bin Salim bin Ahmad Hussin Al ‘Athas dan Al Habib Sayyid Muhammad bin Salim rh. Itu pengelola masjid Ba’alawi di Bukit Timah di Singapura. Dan Al ‘Alamah datuk Habib Sayyid ‘Alawi bin Thahir Haddad Al Haddar, muftikerajaan Johor yang trdahulu itu adalah anak murid kepada Habib Al Arif Ahmad bin Hussin Al ‘Athas.

Berkata habbib Sayyid ‘Alawi bin Thahir Al Haddad dalam kitabnya ‘Uqudul Almaasi Bimanaaqibi Syaikhil Thoriqah Wa Imaamil Haqiiqah, Al Arifbillah Habib Ammad bin Hussin Al ‘Athas: Kata Syeikh Muhamad bin ‘Audh bin Muhammad Bafadhlu dalam kitab Manaaqibil ‘Arifbillah Al Habib Ahmad bin Hussin Al ‘Athas bagaimana disebutkan oleh Imam Habib Al ‘Idrus bin Umar Al habsyi bahawa Al Habib Al Arif Ahmad Al ‘Athas itu seorang wali Allah yang mutlak dan dia dibenarkan mengkhabarkan apa perkara yang disembunyikan oleh orang lain.

Adalah Al Habib Arifbillah Ahmad bin Hussin Al ‘ Athas itu apabila banyak melihat Rasulullah SAW sehingga berulang-ulang kali semalam hingga tujuh kali.

Adalah Al Habib Al Arifbillah itu apabila ia berasa syak pada suatu hadis maka ia bertanya kepada Nabi SAW.

Adalah Al Habib Al Arifbillah itu dapat mengetahui perkara bohong, katanya saya melihat keluar daripada mulut pembohong itu seperti sesuatu asap.

Al Arifbillah itu dapat mengenal karangan-karangan kitab-kitab ilmu, mana kitab itu ditulis mengikut hawa nafsu atau kerana ta’asub atau lain-lain dari hawa nafsu dan ta’asub.

Al Arifbillah itu dapat memilih mana-mana kitab yang sayugia dibaca dan diamalkan oleh ahli ilmu.

Adalah guru Al Arifbillah Habib Ahmad bin Hussin Al ‘Athas itu bernama Ghausu Zamaanih Al Habib Abu Bakar bin Abdullah Al ‘Athas telah memohon pandangan dan pilihan dalam sesuatu perkara kepada Nabi SAW maka Nabi SAW bersabda kepadanya: “ Akan datang kebenaran atau datang isyarat di atas tangan seorang anak-anak kamu.”:

Al Arifbillah Ahmad bin Hussin Al ‘Athas berkata adalah roh-roh datang kepada saya pada permulaan hidup saya sebagai suatu utusan sepuak lepas sepuak dan dia bercerita bahawa setengah orang mati lalu kepadanya lepas roh-roh berpisah dari jasad orang-orang mati itu atau lalu malaikat kepadanya dengan mmbawa roh-roh itu. Saya Tanya (Habib Mufti), ke mana roh-roh yang tuan guru lihat tadi? Jawabnya , dia bersiyarat dengan tangannya bahawa roh-roh itu pergi ke pihak kiblat.

Al Arifbillah itu menceritakan kepada (Al Habib Mufti) bahawa Al Arifbillah berhimpun dengan roh-roh “barzzakhiyyah” yang belum masuk ke dalam jasad manusia di dalam suatu perkara berlaku.

Adalah Al Arifbillah itu bangun tidur pada 1/3 yang terakhir dari waktu malam, ia mengambil air sembahyang, dan ia sembahyang dan panjang sembahyangnya itu. Kemudian ia membaca zikir-zikir yang panjang dan mengulang-ulang “Asmaul Husna”, ia bertasbih, ia bertahmid, ia bertakbir pada tiap-tiap “isim” itu. Kemudian ia baca zikir-zikir yang lain kemudian ia baca Quran dengan bacaan sederhana tiada cepat dan tiada lambat dan dia dapat membaca lima juzuk Al Quran sebelum terbit fajar.

Disebutkan bahawa Al Arifbillah dan Al Afiful Munawwar Ahmad bin Abdullah Balkhair sembahyang witir berjemaah dengan membaca 10 juzuk Al Quran.

Adalah wirid Al Arifbillah dalam sehari 25,000 “Lailahaillallah” dan membaca separuh Quran. Adapun usaha Al Arifbillah pada membaca kitab-kitab ilmu dari kitab-kita tafsir, hadis, tasawuf dan lain-lain, maka tiadalah kita ketahui (kata Al habib ‘Alawi) seseorang pun seperti Al Arifbillah itu.

Berkata Al ‘Alamah Muhammad Bifadhlu, saya berhubung dengan Al Arifbillah pada tahun 1316 Hijrah, maka banyak bilangan kitab yang ia baca di hadapan Al Arifbillah dan lain-lain penuntut membaca kitab di hadapannya menunjukkan kitab-kitab yang dibaca dihadapannya itu dari semenjak Al arifbillah balik dari Mekah sehingga tahun itu tiada kurang dari 26 tahun, adalah sangat banyak tiada dapat dikira, kerana tuan guru Al Arifbillah itu tiada sabar dari ilmu dan dari ibadah dan dari zikir, semuanya itu makanan bagi dirinya dan rohnya, dan saya tiada lihat akan seseorang pun tahan mendengar kitab-kitab ilmu seperti tuan guru itu.

Adalah Al Arifbillah itu apabila ia melayan “dhif-dhif” dan tetamu atau utusan-utusan maka ia tiada tahan dari meninggalkan membaca kitab, maka ia letakkan sebuah kitab di atas ribanya dan ia balik-balikan halaman kitab itu, sambil ia melayani “dhif-dhif” itu kerana ia gemarkan ilmu dan kitab-kitab ilmu.

Dipetik dari Uqudul Almaasi.

Diriwayatkan oleh Imam Abu Na’im dan Ibnu Basykuwal daripada Imam Sufyan As Tsauri telah berkata, di antara ketika saya mengerjakan haji, tiba-tiba masuk seorang pemuda, dia tiada mengangkat sebelah kaki dan tiada meletakkan sebelah kaki, melainkan ia berselawat atas Nabi SAW dan keluarga baginda.

Maka saya katakan kepadanya: “Adakah dengan ilmu kamu kata begitu?” Pemuda itu menjawab: “Ya”. Kemudian pemuda itu berkata: “Siapa tuan?” Saya menjawab: “ Saya Sufyan As Tsauri.” Ia bertanya: “Dari Iraq ?” Saya jawab: “Ya.” Pemuda itu bertanya: “ bagaimanakah tuan kenalkan akan Allah?” Saya jawab: “Allah memasukkan malam ke dalam siang dan Allah memasukan siang ke dalam malam dan Allah menggambarkan anak-anak dalam rahim.” Kata pemuda itu: “ Wahau Sufyan, tuan belum kenalkan Allah dengan sebenar-benar kenal.”

Saya berkata: “ Bagaimana kamu kenalkan Allah?” Jawab pemuda itu: “ Bifaskhil hammi, wa naqdhil ‘azmi. (ertinya: dengan membuang bimbang dan membatalkan azam.). Dan saya bimbang maka saya buang bimbang itu, dan saya berazam maka dibatalkan azam saya itu, dengan itu saya kenal bahawa bagi saya ada Tuhan yang Esa yang mentadbirkan hal ehwal saya.”

Saya berkata: “Apa itu selawat yang kamu selawat kepada Nabi SAW?” jawab pemuda itu: “Ceritanya begini: Adalah saya pergi kerja dan bersama-sama saya ibu saya, dan ibu saya minta saya bawa dia masuk ke dalam Kaabah. Maka saya bawa ibu saya ke dalam Kaabah, maka ibu saya terjatuh dan bengkak perutnya dan hitam legam mukanya. Maka saya duduk disisinya dengan sedih hati saya, dan saya angkat 2 tangan ke langit dan saya berkata: Ya Rabbi Ya Tuhanku, beginikah Tuhan hamba buat kepada sesiapa yang masuk ke dalam rumah Tuhan hamba (Kaabah), maka tiba-tiba awan naik dari sebelah Tihamah, dan tiba-tiba ada di dalamnya seorang lelaki memakai pakaian putih, dan ia masuk ke dalam Kaabah. Dan ia lalukan tangannya di atas perut ibu saya, maka muka ibu saya menjadi putih dan kesakitannya reda. Kemudian ia berjalan hendak keluar dari Kaabah itu maka saya tarik bajunya dan saya berkata kepadanya: “Siapa tuan yang menolong menyelamatkan saya dari kesedihan saya?” Jawabnya, “ Saya Nabi kamu, Nabi Muhammad yang kamu memberi selawat ke atasnya.”

Maka kata saya: Ya Rasulullah “Fa Ausini” (ertinya mohon beri pesan pada saya). Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Janganlah angkat sebelah kaki dan jangan letakkan sebelah kaki melainkan kamu berselawat di atas Sayidina Muhammad dan di atas keluarga Sayidina Muhammad.”

Kata saya: “ Adalah orang muda ini dari kalangan wali-wali yang sampai kepada Allah.”

Saya kata ini kisah yang diceritakan Imam Sufyan As Tsauri yang terkenal dan dinukilkan oleh Imam Abu Na’im, pengarang kitab Hilyatul Auliya’ dan Ibnu basykul dan telah dinukilkan oleh “Muhadissud Dunya” Sayyid As Syeikh Abdullah As Siddiq Al Ghamaari daripada ulama Al Azhar dan ulama Al Maghrib dalam kitabnya Fadhailun Nabiyyi fil Quranil Illahiyatu Fissolah ‘Ala Khairil Bariyyah dicetak oleh maktabah Al Kahirah Syari’ As Sonadiqqiyah, Medan, Al Azhar, Mesir.

Sedikit masa yang lalu saya telah mendengar seorang penceramah di suatu radio dengan jahil dan lalai dia mengatakan tiada mungkin dan tiada boleh seseorang menerima wirid dan amalan daripada Rasulullah SAW di dalam kaabah zaman sekarang atau sebelum sekarang, adalah Al ‘Alamah Ibnu Taimiyah menegur ahli taswuf bagaimana tersebut dalam kitab Al Fatawal Hadissiyah atau pengikut-pengikut Al hafiz bin Rejab dan Az Zahbi atau sefaham mereka seperti Syeikh Abu Bakar Al Jazairi dan Syeikh Halali yang ada di Madinah Almunawarrah itu kedua-duanya tiada senang hati dengan ahli bait Rasulullah SAW dan dengan ahli tasawuf.

Maka nyata dari kata-kata ulama yang di atas ini, bahawa berjumpa dengan Nabi SAW waktu tidur atau waktu jaga, dan Nabi SAW mengajar akan sesuatu ilmu, suatu doa, suatu selawat dan suatu zikir, adalah HARUS DAN BOLEH, bagaimana telah berlaku pada ulama-ulama, ahli ilmu Islam, wali-wali Allah dan orang-orang solehin, kita berkata perkara seperti ini termasuk di bawah erti kata “ fadhoilul ‘amal”.

Adapun perkara halal dan haram telah tertutup dengan terhenti wahyu kepada Nabi kita dan dengan wafat Nabi kita SAW sebagaimana kita telah sebutkan di awal-awal rencana ini.

Sila baca kitab-kitab berkenaan wali-wali Allah seperti Syawahidul Haq karangan Syeikh Yusuf Anbahani dan kitab Lathoifulminan karangan Al Arifbillah Tajuddin bin ‘Athaillah As Sakandari yang mati tahun 709 Hijrah dan Jami’u karamatil Auliya’ karangan Syeikh Anbahani dan Hilyatul Auliya’ oleh Al Hafiz Abu Na’im dan karangan Al ‘Alamah Dr. Abdul Halim Mahmud, Mesir dan lain-lain.

~Pihin Datuk Ser Maharaja Datuk Seri Utama
Awang Haji Ismail bin Umar Abdul Aziz
Mufti Kerajaan Brunei Darussalam

Pejabat Mufti,
Kementerian hal Ehwal Agama,
Negara Brunei Darussalam.
14 Jamadil Awal 1408H
4 Januari 1988.

0 Teguran Sahabat...: