Pages

Siapakah beliau Al-'Alimurrabbani As-Syeikh Muhammad Yusuf Bin Ahmad Al-Kelantani ( Tok Kenali ) R.A...

Sejarah Tok Kenali...
Pendahuluan 

Muhammad Yusuf bin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Tok Kenali (1868 – 1933) ialah seorang tokoh Ulama' Ulung , guru agama Islam yang agung, tokoh pembangun pemikiran umat Islam di dunia dan pencetus ilmu pengajian Islam di Malaysia dan Asia Tenggara khususnya, di awal abad ke-20. 
Beliau seorang Alim Rabbani yang dalam hidupnya banyak berpandukan kitab Suci Al-Quran disamping Sunnah Rasulullah (S.A.W). Malah beliau juga digelar "Wali Allah" memandangkan kelebihan dan keistimewaan yang anugerahkan oleh Allah (S.W.T).
Beliau juga disebut sebagai Ulama yang Zuhud kerana memilih hidup sederhana dan mendapat ilham daripada Allah (S.W.T) sebagai "Ilmu Ladunni" (Ilmu Kurniaan Ilahi tanpa belajar).

Bapanya seorang petani bernama Ahmad, manakala ibunya bernama Fatimah. Ibunya adalah anak seorang Lebai yang kuat beramal ibadat serta ilmu agama yang tinggi yang dikenali dengan panggilan Tok Leh. 

Kecenderungan Tok Kenali dalam pelajaran dan minat mendalami agama sejak kecil lagi. Perasaan ingin maju dan ingin tahu meluap-luap di dadanya. Dalam tempoh yang singkat dia telah berjaya khatam kitab suci Al-quran pembacaan kitab suci Al-quran dan dapat menulis dengan baik. Kerana itu tidaklah hairan mengapa dia telah dipilih oleh penggawa daerahnya untuk menjadi seorang kerani sebagai pembantunya dalam mengira dan menguruskan hasil-hasil tanaman dan kebun di kawasan tersebut sewaktu dia berusia antara tujuh ke lapan tahun.

Suatu hal yang agak luar biasa bahawa dalam masa mengajar itu, Tok kenali mengajar tanpa kitab, di hadapannya tiada kitab-kitab pelajaran sedangkan muridnya mempelajarinya dengan menggunakan kitab. Ililah menunjukkan bahawa Tok kenali adalah seorang yang mempunyai daya ingatan yang kuat. Beliau adalah seorang anak yang genius. Telah terbukti apabila pada usia 9 tahun beliau telah dilantik menjadi kerani oleh Penggawa atau Penghulu Kubang Kerian iaitu Tok Kweng Ahmad. Penggawa tersebut amat tertarik dengan kepintaran & sikap ingin tahu beliau dan ingin maju dalam diri beliau. Anak bongsu Tok Kenali yang paling banak mendekati masyarakat dari segenap lapisan. Terkenal sebagai pembaca Quran yang handal, ahli lagu dan qasidah yang terkemuka di Malaysia. Mendapat pendidikan di Mekah sehingga ke peringkat menengah tinggi dan memasuki kuliah Syariah di salah sebuah universiti di Mekah dan pernah berkhidmat dengan kerajaan Arab Saudi sebagai pegawai pendidikan dan pernah juga menjadi pengetua di beberapa buah sekolah menengah di Arab Saudi.

(Masjid Asal Tok Kenali yang telah di baik pulih)

Sekiranya kita meneliti sejarah hidup Ulama terkenal ini, pastinya kita akan terasa kagum dengan kebolehan dan kekeramatan yang dimiliki beliau atas kurniaan Allah (S.W.T) kerana sepanjang hayat beliau menghabiskan masa dengan mencurahkan ilmu pengetahuan dan berbakti kepada masyarakat khususnya pada Agama demi mencari keredhaan Allah (S.W.T). Beliau mula belajar pada usianya masih kecil iaitu belum "mumaiyyiz" lagi. Malah sebelum menyambung pembelajarannya ke Mekah, beliau telah pun berbakti kepada masyarakat dengan mengajar Ilmu Agama, Nahu dan juga Bahasa Arab di kampungnya.


Riwayat Hidup Tok Kenali 

Beliau dilahirkan pada 1287H bersamaan 1868M di Kampung Kenali, Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan. Beliau juga dikenali dangan nama timangannya "Awang" dan juga "Awang Kenali", akhirnya dikenali dengan Nama "Tok Kenali".

Tok Kenali menjadi yatim pada usia 5 tahun apabila bapanya kembali ke rahmatullah. Bermula saat itulah beliau dijaga oleh datuknya "Tok Leh". Hasil didikan dan asuhan datuknya, beliau mahir membaca dan menulis, disertai dengan didikan dan asuhan Ibunya yang menitik beratkan kesopanan dan peradaban. Ibunya yang bercita-cita tinggi ingin melihat anaknya hidup seorang yang berilmu dan dihormati serta dapat menyumbangkan ilmu kepada masyarakat. Ditambah lagi dengan asuhan Nenek tirinya Tok Mek Ngah yang sangat mengambil berat tentang penjagaan makan minum cucunya sebagaimana menjaga anaknya sendiri. Tok Mek Ngah sama sekali tidak akan membenarkan cucunya memakan makanan yang dibeli di pasar oleh kerana tidak tahu siapa yang memasak dan tidak tahu kualiti kebersihan makanan itu, sebaliknya beliau akan memasak sendiri bagi menjamin kebersihan zahir dan batin untuk cucunya makan. Berpunca daripada asuhan yang baik dan sempurna serta pemakanan bersih lagi halal, maka lahirlah seorang insan yang mulia serta bercita-cita tinggi untuk mendalami ilmu agama.


(Pandangan sebelah belakang Masjid Tok Kenali)
Pendidikan Tok Kenali

Pendidikan pertamanya bermula dari rumahnya sendiri iaitu beliau telah berguru dengan datuknya Tok Leh. Pelajaran pertamanya yang dipelajarinya adalah kitab suci Al-Quran Al- Karim, iaitu dengan mempelajari bacaannya. Seterusnya beliau berguru dengan Tuan Guru Haji Ibrahim sewaktu usianya 6 tahun dan beliau berusaha menghafaz ilmu yang baru dipelajarinya. Ingatannya juga cukup kuat, dengan hanya sekali diajar mengaji beliau sudah boleh membaca Al-Quran dengan tajwid dan tartilnya sekali. Beliau juga dikagumi oleh gurunya.

Satu perkara aneh yang ada pada diri beliau ialah, beliau agak keberatan untuk membaca pelajaran yang beliau telah mempelajarinya semalam walaupun diminta olae gurunya, sebaliknya meminta diajar pelajaran yang baru. Katanya pelajaran yang sudah dipelajari semalam beliau sudah tahu dan apabila diuji oleh gurunya ternyata beliau cukup fasih dan tepat sekali bacaannya.

Pada umur 10 tahun beliau menuntut di masjid besar Kota Bharu iaitu Masjid Besar Muhammadi, masjid tersebut adalah menjadi pusat pengajian terpenting di Nusantara ini dan beliau pergi menuntut dengan berjalan kaki pergi dan balik sejauh 8km untuk sampai ke masjid tersebut tujuannya untuk mendalami ilmu agama dan tatabahasa Arab. Menurutnya, seorang yang ingin mendalami dan menguasai ilmu agama wajib mahir dalam bahasa Arab. Sekiranya kita fasih berbahasa Arab, kita akan dapat memahami Al-Quran dan hadis Nabi.

Baginya berjalan kaki sejauh 8km bukan satu penghalang padanya untuk mencapai cita-citanya untuk menimba ilmu yang berguna. Tok Kenali telah berguru dengan ramai ahli ulama pada ketika itu, berkat didikan daripada guru-gurunya beliau mahir menguasai kitab-kitab Islam dengan baik. Sudah menjadi adat atau tradisi masyarakat Melayu pada ketika itu untuk mengahwinkan anak perempuannya pada usia muda kerana takut dan bimbang jika anak perempuannya kahwin lambat kerana bimbang akan menimbulkan fitnah sekiranya berkahwin lambat. Oleh itu seorang pemuda yang tinggi ilmunya menjadi rebutan kepada orang tua si gadis untuk menjadikan Tok Kenali sebagai menantu. Akhirnya beliau dikahwinkan dengan seorang gadis pada usia beliau 16 tahun, malangnya usia perkahwinannya hanya kekal selama satu tahun sahaja disebabkan kahwin paksa atas kehendak orang tua. Dalam tempoh perkahwinannya yang singkat itu, datuk dan nenek kesayangannya meninggal dunia dan beliau pula telah bercerai dengan isterinya. Lalu beliau telah mengarang sepotong syair nyang berbunyi "Tiada isteri dipelukkan kitab, datuk pula meninggalkan harap". Selepas beliau bercerai dengan isterinya, beliau telah melanjutkan pelajarannya ke Tanah Suci Mekah pada tahun 1887 (1305H) pada umurnya kira-kira 18 tahun, beliau menaiki kapal layar yang sering berulang-alik berdagang di rantau ini. Perjalanan sepatutnya selama 3 bulan tetapi telah menjadi 6 bulan disebabkan layarnya patah ditengah lautan Hindi dan Laut Merah. Oleh kerana terlalu lama di lautan, makanan dan minuman air tawar kehabisan lalu beliau terpaksa meminum air masin lautan Hindi untuk meneruskan perjalanannya ke Tanah Suci Mekah. Sesampainya beliau ke Tanah Suci Mekah, musim haji sudah habis. Selama 7 bulan beliau tinggal di Tanah Suci Mekah tanpa kediaman, hanya menumpang tidur dan berbantalkan lengan di serambi Masjidilharam sahaja. Selepas 7 bulan beliau di sana barulah beliau mendapat tempat tinggal yang lebih baik. Beliau telah menjadi tukang masak kepada kawan-kawannya. Dengan ini beliau mendapat upah dan dapatlah menampung perbelanjaan pengajiannya kerana beliau tidak pernah mendapat kiriman wang daripada ibunya di kampung kerana ibunya hidup susah di kampung. Apabila beliau mempunyai sedikit wang, beliau tidak kedekut untuk membeli kitab-kitab agama bagi membantu pengajiannya. Beliau suka membaca dan mentelaah kitab-kitab dari ulamak-ulamak dan para failasuf islam, beliau banyak membaca dan banyak membuat kajian tentang apa yang beliau pelajari. Pada tahun 1904M, beliau telah melawat Mesir bersama Tuan Guru Wan Ahmad, Encik Nik Mahmud (Datuk Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan) dan Haji Ismail Patani. Tujuan lawatan beliau adalah untuk belajar dan mengkaji hal-hal perkembangan pelajaran yang berhubung dengan agama islam di Universiti Al-Azhar dan tempat-tempat pengajian di sekitar kota Kahirah.

Kehidupan beliau di Tanah Suci Mekah amatlah sederhana terutama dari segi pakaian, makanan dan minuman. Beliau hanya mempunyai 2 helai kain sahaja dan beliau memakai baju 'tut' iaitu baju panjang tanpa kain sarung yang menyamai jubah labuh. Makanannya juga serdehana kerana menurut falsafahnya, beliau "makan hanya untuk hidup, bukan hidup untuk makan".Menurut Abdullah Al-Qari (1938), semasa di tanah suci, beliau berpegang kuat kepada falsafah, "membeli apabila penuh saku, berhenti jika tangan kosong, pemberian Tuhan pantang disungkal". Nikmat Tuhan lebih dari bilangan rambut wajib disyukuri. Pelbagai rintangan yang diterimanya di Tanah Suci Mekah dalam usaha untuk mendapatkan ilmu untuk bekalan dalam hidupnya, namun beliau tidak pernah berputus asa atau menyesal sebaliknya sentiasa bersyukur dan memohon limpah kurina Illahi. Beliau pernah menurunkan doa yang sentiasa beliau pohon semasa di Tanah Suci Mekah.

Doa tersebut yang berbunyi:
"Allahu..., wahai Tuhanku, kasihani apalah kiranya kepada aku, hambamu yang datang dari tanah yang jauh menumpang bertenggek di tanah suci dan di serambi Masjidilharam Mu yang mulia. Kasihani wahai Tuhan yang rahman, penuhilah dadaku dan sakuku, banyakkanlah makanan dan tempat kediamanku, gantikanlah nasi buburku dengan nasi keras yang menyegarkan, Lailahhailla antasubhanakainni kumtuminadzalimin. 

Kerana ketulusan hatinya yang suci itu, sentiasa pula merendahkan diri dan sederhana dalam segala hal, setiap doa dan permintaan beliau kepar dimakbulkan oleh Allah S.W.T. Setiap nikmat yang dikurniakan oleh Allah S.W.T sentiasa disyukurinya dan beliau tidak putus-putus berdoa dna memohon pada Allah S.W.T agar dipelihara Allah S.W.T dan mendapat kehidupan yang baik semasa di sana. Akhirnya berkat doanya yang tulus suci itu beliau memperoleh tempat pergantungan yang lebih baik lagi. Dengan ini suasana pengajiannya juga bertambah baik dan sempurna.

Setelah kehidupannya berubah menjadi lebih baik sedikit beliau telah mampu membeli sendiri kitab-kitab agama pengajiannya.Segala ilmu yang di baca dan dipelajarinya tersimpan didalam ingatannya begitu kuat sehingga sukar sekali dilupakan. Inilah satu kelebihan pada beliau yang dikurniakan semenjak beliau dari kecil lagi. Arus kehidupan di rantau orang ada pasang surutnya. Atas desakan ekonomi yang agak genting beliau terpaksa menjual kitab-kitab miliknya dengan sedikit potongan kepada toko-toko buku dari satu masa ke satu masa. Dengan cara itu beliau dapat menggunakan wang tersebut untuk membeli kitab-kitab yang baru pula yang belum dipelajarinya. Penjualan kitab-kitab yang telah habis dibaca dan dipelajarinya sedikit pun tidak merugikan beliau kerana segala isi kitab tersebut telah tersimpan di dalam ingatan dengan kuat. Apabila beliau pulang, beliau Cuma membawa dua buah kitab sahaja iaitu Kitab Maghni Al Baib dan Kitab Asmuni (atau Surah Yassin) berserta ilmu pengetahuan dan kepakaran agama yang bagitu mendalam di dalm dada serta ingatannya.

Tok Kenali telah memperoleh ilmu dari pada banyak tuan-tuan guru dan ulama-ulama besar di Mekah. Guru pembimbing utama Tok Kenali semasa di Mekah yang juga menjadikan Tok Kenali sebagai anak angkatnya ialah Al Alamah Asy Sheikh Wan Ahmad Zain bin Mustafa Al Fatani.


Kepulangan Tok Kenali

Pada tahun 1909M (1327H) beliau pulang ke tanah air selepas menjalani pengajian selama 17 tahun di tanah suci Mekah. Keputusan diambil untuk pulang ke tanah air apabila selepas tuan guru kesayangannya Syeikh Wan Ahmad meninggal dunia di Mekah pada 1906M (1325H). Pada tahun 1911M (1329H) beliau pulang ke tanah air setelah merasai dadanya sudah penuh dengan ilmu pengetahuan dalam yang telah dipelajarinya lebih kurang 25 tahun daripada tuan gurunya. Beliau bertekad untuk mencurahkan segala ilmunya kepada anak bangsanya. Beliau pulang ke tanah air menaiki kapal layar yang menyusuri pantai Arab, Andam, India melalui singapura dan akhirnya tiba di Kelantan. Atas kesedaran dan dorongan oleh ibunya bertapa pentingnya pendidikan yang lebih baik dan tersusun lagi berkesan beliau telah membuka dua buah pusat pengajian sekolah pondok di kampung kelahirannya di kampung Belukar iaitu tempat Masjid Kenali sekarang dalam Mukim Kenali, sebuah tempat pengajian yang kemudiannya menjadi pusat pengajian agama di semenanjung. Di mana beliau tinggal, orang akan berduyun-duyun mengikutinya sehingga pondoknya semakin bertambah besar ekoran bertambahnya bilangan murid beliau. Hasil dari didikan beliau, lahirnya guru-guru agama dari pondok tersebut. Selepas itu guru-guru tersebut membuka pondok pengajian di tempat masing-masing. Selain mengajar di pondok beliau, Tok Kenali juga menjadi guru di Masjid Besar AL-Muhammadi, Kota Baharu. Ketika itu menjadi pusat pengetahuan agama terbesar di Kelantan dan juga dikenali sebagai "Serambi Mekah" sehingga namanya termasyur ke serata ceruk di Semenanjung, Indonesia, Kemboja, Patani dan lain-lain negara. Beliau membahagikan masa mengajar dalam seminggu 3 hari di Masjid Muhammadi di Kota Bharu dan 4 hari di pondoknya. Ramai murid-murid datang belajar di pondok beliau dari seluruh pelusuk negeri dan juga negara. Selain Tok Kenali ada juga guru-guru yang mengajar di pondok tersebut. Murid-murid yang mempunyai kebolehan dalam pelajarannya akan dilantik sebagai seorang pemimpin kumpulan disamping itu kitab-kitab agama dalam tulisan jawi diajarkan kepada pelajar-pelajar dan juga orang-orang kampung. Murid beliau yang pertama ialah Almarhum Tuan Guru Haji Mohd Jebeng (Jambang) dan Almarhum Lebai Ahmad. Kedua-dua murid beliau ini disuruhnya menghafal nahu dan tasrif. Cara-cara Tok Kenali mengajar kepada murid-muridnya agak luar biasa, Tok Kenali mengajar tanpa kitab di hadapannya sedangkan murid-murid mempelajarinya dengan menggunakan kitab di hadapannya. Inilah menunjukkan bahawa Tok Kenali mempunyai daya ingatan yang kuat. Selepas ibunya meninggal, Tok Kenali berhijrah ke Kota Bharu atas permintaan Datuk Paduka Perdana Menteri yang juga kawan baiknyadan mencurahkan sepenuh tenaganya sebagai pengajar utama di Masjid Muhammadi. Dalam pendidikan mencurahkan ilmu beliau berpegang kuat kepada falsafah dakwah, tarbiah dan ilmu perlu di sebarluaskan kepada orang ramai. Sejak itu nama Tok Kenali semakin mekar mengharum dan masyhur sebagai tuan guru yang mahir dalam ilmu nahu, saraf dan tasawuf, tafsir, hadis, tauhid, feqah dan sebagainya. Masa berlalu begitu pantas, nama Tok Kenali masyhur sebagai ulama terbilang dan sebagai wali Allah.S.W.T dan menenggelamkan nama sebenar beliau Mohammad Yusof Ahmad dengan gelaran "Tok Kenali" kekal sehingga ke akhir hayatnya malah sehingga ke hari ini.
Selama 25 tahun hidup menduda dan tinggal sebatang kara, akhirnya beliau mendirikan rumahtangganya sewaktu usianya menjangkau 40 tahun dengan seorang janda muda yang berusia 18 tahun yang bernama Siti Ruqayah. Hasil perkahwinan dengan Siti Ruqayah, beliau dikurniakan 4 orang cahaya mata lelaki. Kesemua anak lelakinya ini berjaya menjadi tuan guru yang berilmu.

Cahaya Mata Tok Kenali

i) Tuan Guru Haji Ahmad (1909-1979)

Anak sulung Tok Kenali yang sempat mendapat bimbingan ilmu daripada ayahnya. Lebih dikenali dengan nama ’Tok Bangkok’, sebab tempat tinggal beliau di kenali bersebelahan dengan pondok penuntut-penuntut dari Siam (Bangkok). Beliau juga seorang guru yang utama dan mengambil alih serta menyanbung usaha murni bapanya dengan mengajar di pondok pengajian peninggalan bapanya. Tok Bangkok memang disenngi oleh semua orang kerana sikapnya yang suka mengambil berat dan sentiasa menyampaikan nasihat dan ajaran walau di mana saja beliau berada. Apa yang menaraik tentang beliau ialah beliau amat disukai oleh kanak-kanak, kerana sikapnya yang pemurah dan suka mengambil hati kanak-kanak. Apabila beliau keluar ke satu-satu tempat, poketnya pasti berisi bungkusan gula-gula yang akan diberikan kepada kanak-kanak yang ditemuinya.

ii) Tuan Guru Haji Muhammad Salleh (1911)
Beliau adalah anak Tok Kenali yang paling lama belajar serta tinggal di Mekah, iaitu meninggalkan kampung halaman kira-kira 6 tahun sebelum Tok Kenali meninggal dunia. Iaitu kira-kira pada tahun 1927M (1347H). Beliau terus menetap di sana dan menjadi salah seorang tenagn pengajar di Masjidilharam, Mekah. Beliau juga adalah seorang pengarang dan telah mengarang lebih 60 buah kitab dan pelbagai risalah agama. Setiap tahun tidak kurang dari dua atau tiga hasil cipta karangannya akan dikirimkan ke tanah air untuk dicetak.
Pada tahun 1962M (1382H) beliau telah bekunjung ke tanah air bat beberapa ketika dan membuat lawatan ke beberapa buah negeri di Malaysia Barat sambil menyampaikan ajaran-ajaran Islam yang sebenar berdasarkan Al-Quran dan Hadis. Beliau menetap di Tanah Suci Mekah sebagai guru pengajian Quran di salah sebuah sekolah Arab di Kota Mekah. Beliau juga pandai memasak seperti almarhum bapanya, Tok Kenali.

iii) Tuan Haji Mahmud (1913M)
Anak Tok Kenali yang ketiga ini tidak kurang juga handal ilmu agamanya. Pernah menjadi khatib sambilan di masjid peninggalan bapanya di Kubang Kerian dan seorang yang kerap berpidato, memberi nasihat dan pengajaran di samping menguruskan perniagaannya sendiri.

iv) Tuan Haji Abdullah Zawawi (1926M)

Akhlak dan Peribadi Terpuji Tok Kenali

Kemasyhuran Tok Kenali sebagai ulama besar, namun terkenal juga sebagai seorang tokoh yang mempunyai sifat-sifat terpuji dan amalan yang amat baik dan menjadi contoh tauladan kepad umat Islam yang lain. Antara sifat-sifat terpuji dan amalan istimewa beliau ialah:
  • Beliau sangat menghormati dan memuliakan ibunya dan selalu memohon restu kepada ibunya sebelum melakukan sesuatu perkara yang baru. Beliau sentiasa memberitahu perkara gembira kepada ibunya selam beliau berada di Tanah Suci Mekah.
  • Beliau tidak pernah merandah-rendahkan orang lain. Contohnya tidak merendahkan murid-muridnya yang lemah dalam pelajaran kerana beliau menganggap bijak atau lemahnya seseorang itu adalah kurniaan Illahi.
  • Seorang yang zuhud, sentiasa merendah diri, sangat pemurah dan suka menderma terutamanya kepada orang fakir dan miskin.
  • Sentiasa menerima undangan dan jemputan, tidak pernah menolak jemputan atau hajat orang ramai kecuali beliau dalam keuzuran.
  • Beliau suka beriktikaf di masjid, berzikir, memperbanyakkan ibadat dan kurang tidur.
  • Menggemari kata-kata hikmat, kata-kata sakti dan syair-syair Arab.
  • Kerap menulis di atas tapak tangan kerana menganggap tapak tangan adalah sebagai meja yang kecil.
  • Beliau seorang penyabar, tidak lekas marah, tidak pernah memukul atau merotan anak-anaknya. Anak-anaknya disuruh tanpa perintah, cukup dengan contoh perbuatannya sahaja.
  • Gemar membaca buku-buku agama, cerita-cerita agama dan majalah-majalah ilmiah di mana-mana sahaja beliau berada.
  • Rela berkorban. Sentiasa mengorbankan wang demi ilmu pengetahuan malah pernah membayar sebuah kitab dengan harga puluhan ringgit semata-mata kerana di dalamnya terdapat beberapa perkataan yang baru kepadanya.
  • Tidak mahu mengambil kembali barang-barang miliknya yang tercicir dan dijumpai oleh orang lain walaupun orang tersebut memulangkan kepada beliau kerana menganggap barang tersebut adalah rezeki orang yang menjumpainya.
  • Mempunyai daya ingatan yang cukup kuat. Iaitu sentiasa mengingat setiap masalah yang ditanya kepada beliau walaupun orang yang bertanya itu sendiri sudah lupa. Beliau juga mampu menceritakan dengan baik segala apa yang sudah dibacanya sebelum itu. Menutup kitab pengajarannya tanpa menandakan tempat berhenti tetapi sebulan kemudian dapat terus membuka dengan tepat bahagian atau mukasurat yang beliau hentikan.
  • Suka berjalan kaki sebagai satu latihan untuk melenyapkan perasaan sombong, bongkak dan megah.
  • Suka membuat sendiri pekerjaan tanpa meminta pertolongan orang lain. Contohnya pergi ke pasar sendiri dan apabila pulang bakulnya penuh berisi dengan pemberian orang.
  • Tidak pernah menolak sebarang pemberian orang kepadanya.
  • Pakaiannya cukup sederhana iaitu hanya sehelai kain pelikat, kadang-kadang berbaju jubah dan kadang-kadang tidak. Kepalanya pula sering terbuka atau kadang-kadang berlilit serban putih yang panjang. Jelas menunjukkan peribadi seorang wali atau ahli tasawuf atau ahli sufi.
  • Di dalam kehidupan sehari-hari sentiasa membaca surah Al-Ikhlas dan lidahnya sentiasa basah dengan zikir-zikir memuji nama Allah S.W.T dan juga selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W.
  • Selalu berdoa dengan doa yang bersumberkan doa daripada Imam Al-Ghazali, seorang filosof Islam yang terkenal.
Inilah akhlak dan peribadi yang ada pada Tok Kenali, ketinggian dan kemuliaan budi pekerti yang dimiliki oleh Tok Kenali hasil daripada ilmu yang di pelajarinya iaitu ilmu Tarekat dan penghayatan ilmu Tasawuf dalam dirinya.


Detik-detik Akhir Hayat Tok Kenali

Pada akhirnya hayatnya, Tok Kenali diserang sakit kaki secara tiba-tiba. Semakin hari semakin sakit. Empat bulan kemudian sakitnya masih tidak berkurang malah semakin merebak dan memburuk pada kakinya. Saat itu beliau tidak dapat berjalan, sekadar bergerak di dalam rumah sahaja. Namun tidak pernah keluar keluhan atau kekesalan dari mulut Tok Kenali. Apabila terasa sakit digosoknya dengan tangan sahaja, hingga akhirnya kaki beliau berulat. Apabila anak muridnya yang hendak mengeluarkan ulat kakinya, beliau tidak membenarkan anak muridnya mengeluarkan ulat tersebut. Beliau berkata "Biarlah, ulat ini pun suatu penghidupan semacam kita jua, ia juga mahu makan seperti kita makan" (Abdullah Al-Qari 1938:96). Malah pernah mendengar cerita, beliau pergi mandi di perigi, ulat di kakinya yang sakit itu terjatuh, lalu beliau memanggil muridnya untuk mengambil dan meletakkan kembali ulat tersebut ke tempat asalnya pada kaki beliau.
Sewaktu beliau menderita sakit, orang ramai bertali arus datang berduyun-duyun dan tidak putus-putus menziarahi beliau pagi dan petang. Selama dua bulan beliau berada di dalam kesakitan yang amat sangat, maka Tok Kenali menghembuskan nafasnya yang terakhir meninggalkan alam yang fana ini menuju ke alam barzakh pada hari Ahad 19 November 1933M (2 Syaaban 1352H) dalam usianya 65 tahun. Jenazahnya diziarahi oleh tidak kurang dari 2500 orang yang datang dari seluruh pelusuk dan disembahyangkan oleh lebih daripada 1000 orang. Beliau dikebumikan di tanah perkuburan yang sekarang terkenal dengan nama "Kubur Tok Kenali" kilometer 5 jalan Pasir Puteh, Kota Bharu, tidak jauh dari istana negeri. Kuburnya selalu diziarahi oleh Duli Yang Maha Mulia Al-Marhum Sultan Ibrahim (nenekanda kepada Duli Yang Mulia Sultan Ismail Petra). Sehingga ke hari ini kubur Tok Kenali diziarahi oleh ramai murid-murid beliau yang ada berselerak di seluruh negara dan juga pelawat-pelawat.

Selepas 32 tahun pemergian Tok Kenali, diikuti pula oleh isterinya Hajah Roqayah yang meninggal di Tanah Suci Mekah pada 26 Muharam 1384H (1964M). Setelah beliau menghidap penyakit mati sebelah tubuh selama lebih kurang 2 tahun iaitu bermula pada tahun 1382H (1965M).

Jasa dan Bakti Tok Kenali

Beliau banyak berjasa kepada dunia Islam khasnya masyarakat Islam. Beliau telah menyumbangkan baktinya di kampungnya sendiri sebelum mendalami ilmu agama di Tanah Suci Mekah.Sekembalinya dari Tanah Suci Mekah, beliau terus berbakti mengajar murid-muridnya sehinggalah ke akhir hayatnya. Terlalu banyak sumbangan dan jasa beliau telah dicurahkan tidak terkira banyaknya ilmu yang telah diturunkan kepada murid-muridnya.
Antara sumbangan yang besar beliau ialah:


  • Mendirikan pondok dan memberi galakan kepada sistem pondok. Walaupun sistem pondok ini telah wujud sebelum zaman beliau lagi namun telah disemarakkan oleh beliau dengan sistem penyampaian yang baru iaitu pelajaran secara berhalaqah, (melantik seorang murid yang lebih pandai untuk menjadi kepala telaah dalam kumpulannya). Beliau juga mendirikan "Jam’iyyah Al-Asriyyah" sebagai tempat perbincangan ilmu.

  • Melahirkan sistem menghafal dalam pembelajaran agama. Sistem ini digunakan dalam bidang bahasa Arab, Ilmu Tauhid, Fekah, Tasawuf dan Tafsir Al-Quran.
  • Memberi pengajaran dan kefahaman mengenai kitab-kitab Arab dan Melayu. Bidang-bidang tersebut ialah bahasa Arab, Tauhid, Fekah, Tasawuf dan Tafsir Al-Quran.

         Harimau mati meninggalkan belang,
         Manusia mati meninggalkan nama,
        Jasa dan bakti selalu dikenang,
        Amalannya mengikut pegangan agama.

  • Melahirkan ’Angkatan Ulama’ yang menceburkan di dalam pelbagai bidang ilmu. Contonya bidang Tauhid (Almarhum Tuan Guru Haji Ya’kub bin Ismail Legor, Tuan Guru Syeikh Salih Tok Kenali. Almarhum Tuan Guru Haji Ahmad Tok Kenali. Bidang Fekah (Almarhum Tuan Guru Haji Abdullah Tahir Bunut Payung, Tuan Guru Haji Solahuddin Pulau Pisang dan ramai lagi). Bidang Tasawuf (Almarhum Tuan Guru Haji Ya’kub bin Ahmad Lorong Gajah Mat, Almarhum Tuan Guru Haji Daud bin Haji Umar Bukit Abal). Bidang Tafsir (Doktor Asy-Syeikh Muhammad Idris Al-Marbawi, Almarhum Datuk Haji Hassan Yunus). Bidang Hadis (Doktor Asy-Syeikh Muhammad Idris Al-Marbawi). Bidang bahasa Arab (Haji Ali Salaahuddiin Al-Ibtida’iyyah atau Tok Sibawaih), bidang perkamusan, bidang sejarah dan juga bidang falak.
  • Melahirkan "Angkatan Pendakwah" atau ulama yang membuka pondok. Antaranya ialah Almarhum Tuan Guru Haji Abdullah Tahir (Bunut Payung), Almarhum Tuan Guru Haji Ya’kub (Legor – Selatan Thailand), Almarhum Tuan Guru Haji Zainal ’Abidin (Sura, Dungun, Terengganu), Almarhum Tuan Guru Haji Salaahuddin (Pulau Pisang), Tuan Guru Haji Hasbullah dan Tuan Guru Haji Md. Nor (Buk, Ketereh).
  • Pengasas Sekolah Arab, iaitu Almarhum Asy-Syeikh Uthman Jalaaluddin Al-Kelantani yang membuka Madrasah Manaabi’ Al-Uluum, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
  • Melahirkan golongan yang menjadi mufti seperti Saahib Al-Fadhilah Almarhum Datuk Haji hmad Mahir (Bekas Mufti Kelantan), Saahib Al-Fadhilah Datuk Haji Ismail Yusof (Timbalan Mufti Kelantan dan Saahib Al-Fadhilah Almarhum Tuan Haji Hasan (Bekas Mufti Melaka).
  • Melahirkan ahli politik, iaitu Almarhum Datuk Haji Hasan Al-Azhari (Bekas Menteri Besar Johor).
  • Mendorong pembukaan sekolah-sekolah Melayu, ini mamandangkan segala urusan kemajuan kampung terutama yang berkaitan dengan pelajaran akan dirujuk kepada beliau terlebih dahulu. Di mana pada tahun 1920M Sekolah Melayu Kubang Kerian berjaya didirkan.
  • Tok Kenali juga dipercayai pernah mengumpul dan menyimpan hasil kesusteraan Melayu Klasik iaitu "Cetera Raja Muda".




Rujukan Dari :

0 Teguran Sahabat...: